Monday, May 25, 2009

PKR cabar Aminah lapor SPRM isu ganjaran

PKR cabar Aminah lapor SPRM isu ganjaran


BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) mencabar calon Bebas, Aminah Abdullah membuat laporan kepada Suruhanja-ya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaannya parti itu menawarkan ganjaran supaya beliau tidak bertanding pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

Ketua Penerangannya, Tian Chua, berkata dakwaan berkenaan tidak berasas kerana tiada bukti untuk mengaitkan PKR pernah menawarkan ganjaran kepada calon Bebas itu.

"Saya cabar Aminah supaya membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan itu," katanya pada sidang media di Yayasan Aman di Penanti dekat sini, semalam.

Kelmarin, Aminah dilaporkan berkata beliau akan mendedahkan bukti ganjaran ditawarkan oleh PKR supaya menarik diri bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti, 31 Mei ini.

Bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang yang menggunakan lambang kunci, turut dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan melaporkan perkara itu kepada SPRM.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PKR DUN Penanti, Saifuddin Nasution, berkata beliau berharap Aminah berhenti menyebarkan fitnah dan tidak menyerang peribadi calon yang bertanding sepanjang berkempen.

"Saya dan Aminah sangat rapat dan kami seperti adik beradik. Walaupun beliau menawarkan diri bertanding tetapi hubungan kami tidak akan terjejas disebabkan tindakannya itu," katanya.

Saifuddin berkata, beliau sangat menghormati keputusan 'kakaknya' yang memberanikan diri bertanding pada pilihan raya kecil itu dan menganggap ia disebabkan perbezaan pendapat dengan pemimpin.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata, hampir 45 peratus pengundi sudah ditemui oleh jentera PKR sejak tiga minggu lalu.

"Kami mengadakan kempen dari rumah ke rumah bagi memastikan pengundi berdaftar keluar mengundi. Jangan fikir PKR sudah menang, maka mereka tidak mengundi," katanya.

Beliau berkata, perkara yang paling dikhuatiri ketika hari pengundian ialah penurunan peratusan yang keluar mengundi kerana ia akan menjejaskan majoriti.

No comments: