Monday, May 25, 2009

Ahli PPP sertai perhimpunan berisiko dipecat - Kayveas

Ahli PPP sertai perhimpunan berisiko dipecat - Kayveas

JOHOR BAHRU 24 Mei - Ahli Parti Progresif Penduduk (PPP) yang menyertai perhimpunan anjuran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah di Putrajaya hari ini bakal dikenakan tindakan tegas termasuk dipecat keahlian.

Presidennya, Datuk M. Kayveas berkata, mereka yang terlibat dengan perhimpunan itu akan dipanggil untuk disoal siasat oleh lembaga disiplin parti.

''Apa pun kita akan menyiasat dulu dengan terperinci, siapakah di kalangan ahli PPP yang terlibat dengan perhimpunan tersebut serta sebab utama mereka menyertainya dan jika bersalah, akan dikenakan tindakan disiplin.

''Saya harap semua ahli PPP tidak terpedaya dengan apa yang cuba dilakukan Murugiah memandangkan beliau bukan lagi ahli parti. Jadi saya nasihatkan ikut sahaja peraturan yang telah ditetapkan di dalam parti,'' katanya pada sidang akhbar merasmikan Konvensyen PPP Johor di sini hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan kira-kira 10,000 penyokong Murugiah akan menghadiri satu perhimpunan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) bagi membincangkan masa depan PPP, janji-janji Kayveas yang tidak dipenuhi dan apakah yang boleh ditawarkan Murugiah sebagai pemimpin.

Perhimpunan bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang itu akan menampilkan beberapa penceramah, manakala ucapan penggulungan pula disampaikan oleh Murugiah.

Kayveas menuduh Murugiah telah menyalahgunakan kuasanya sebagai timbalan menteri kerana menggunakan jawatannya untuk menganjurkan perhimpunan tersebut.

Katanya, Murugiah tidak mempunyai hak untuk menganjurkan perhimpunan itu memandangkan beliau telah dipecat daripada parti tersebut pada 16 Mei lalu.

''Beliau tidak lagi mempunyai penyokong dalam PPP dan saya pasti mereka yang akan menyertai perhimpunan tersebut adalah orang luar dan ingin saya nyatakan di sini saya sudah tidak peduli lagi pasal dia,'' katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Kayveas memberitahu, sekiranya Murugiah masih lagi berminat untuk menyertai PPP, beliau boleh membuat rayuan kemasukan semula sebagai ahli sehingga 30 Mei ini.

''Sekiranya beliau masih lagi berminat, beliau boleh kemukakan rayuannya dan selepas tempoh berkenan dia tiada hak untuk bercakap tentang parti ini atau kepimpinan parti ini,'' tegasnya.

No comments: