Monday, May 25, 2009

Husam bertanding Timbalan Presiden

Husam bertanding Timbalan Presiden

KOTA BHARU24 Mei - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa (gambar) dijangka mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada sidang akhbar di Pejabat Agung Pas, esok.

Serentak itu, pertandingan untuk merebut jawatan nombor dua Pas akan menyaksikan persaingan tiga penjuru antara penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa, Husam dan seorang lagi Naib Presiden, Mohamad Sabu.

Menurut sumber dalaman Pas, keputusan tersebut dibuat selepas Husam mendapati keraguan tentang 'hubungan sulit' Pas-UMNO sememangnya wujud dan mendapat desakan kuat daripada akar umbi untuk beliau bertanding jawatan itu.

"Sebelum ini ada pihak tertentu menyebarkan khabar angin bahawa beliau tidak akan menarik diri dan hanya mempertahankan jawatannya sekarang sebagai Naib Presiden kerana mereka bimbang dengan pengaruhnya.

"Selain itu, suara akar umbi mahukannya untuk bertanding jawatan tersebut dan mendapat pencalonan yang amat menggalakkan dari seluruh negara seperti di Kelantan sebanyak sembilan kawasan mencalonkan beliau dan15 pencalonan dari Johor," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada29 April lalu, Husam membayangkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang 'hubungan sulit' Pas-UMNO yang boleh menjejaskan hala tuju Pas.

Ia seolah-olah mempertikaikan usaha dilakukan Nasharuddin yang mengadakan perbincangan dengan UMNO dan beberapa pihak lain demi kepentingan agama, bangsa dan negara.

Sebelum ini, lima calon layak untuk bertanding jawatan tersebut iaitu Datuk Seri Azizan Abdul Razak, Datuk Dr. Haron Din, Mohamad Sabu, Nasharuddin dan Husam pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-55 di Shah Alam awal bulan depan.

Bagaimanapun Azizan dan Haron menarik diri manakala Mohamad dan Nasharuddin mengesahkan untuk bertanding jawatan tersebut dan Husam masih belum membuat sebarang keputusan sehingga sekarang.

Sumber itu berkata, laporan yang mengatakan Nasharuddin mendapat pencalonan lebih daripada60 peratus dari137 kawasan Pas tidak tepat sama sekali.

"Ini merupakan strategi pihak tertentu bagi menarik perhatian umum dan secara tidak langsung mendesak Husam menarik diri kerana tidak mendapat restu daripada akar umbi.

"Bagaimanapun strategi ini tidak menjadi kerana beliau telah mendapat maklum balas dari semua kawasan yang telah mencalonkannya," katanya.

Tambahnya, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat seolah-olah merestui Husam untuk menawarkan diri untuk jawatan ini.

"Ketika berucap pada sambutan Jubli Perak Kepimpinan Ulama di Taman Melewar, Selangor semalam, Tok Guru menyebut beliau percaya dengan kebolehan Exconya di Kelantan yang telah bersamanya sejak 20 tahun lalu.

"Jika diteliti ucapannya itu, hanya seorang sahaja Exco yang berkhidmat dengannya selama tempoh tersebut iaitu Husam, bermula dari 1990 sebagai setiausaha akhbar," katanya

No comments: