Chin Peng: Hock Nan dibidas
BATU PAHAT 24 Mei - Pengerusi Parti Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan terus dibidas kerana membuat saranan agar kerajaan membenarkan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pulang ke Malaysia.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, saranan tersebut tidak wajar sama sekali kerana Chin Peng masih berfahaman komunis walaupun telah meletakkan senjata.
Menurutnya, tindakan Hock Nan itu seolah-olah hendak menjadi juara dengan memperjuangkan seseorang yang berfahaman komunis pulang ke Malaysia.
"Adakah pemimpin Gerakan ini tidak memahami sejarah negara sedangkan PKM merupakan pengganas suatu ketika dulu," katanya.
Beliau mengulas saranan Hock Nan agar kerajaan membenarkan Chin Peng pulang baru-baru ini.
Ekoran itu, Mohd. Puad yang juga Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat menggesa para pemimpin Gerakan agar menghentikan sebarang perkara yang boleh menimbulkan ketegangan dan menjejaskan hubungan baik dalam Barisan Nasional (BN).
"Mereka sepatutnya membaiki diri terlebih dahulu kerana Gerakan merupakan sebuah parti yang agak lemah ketika ini," katanya.
Menurut beliau, Gerakan jangan menggunakan sentimen perkauman seperti hendak membawa pulang Chin Peng bagi menarik balik sokongan kaum Cina.
"Apa yang perlu dilakukan ialah membetulkan dulu imej Gerakan yang kini lemah, tidak mendapat sokongan termasuk di Pulau Pinang," katanya.
'Usah layan desakan benar Chin Peng pulang'
JASIN: Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Melaka meminta kerajaan mengenepikan desakan Parti Gerakan Pulau Pinang supaya bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng dibenarkan pulang ke Malaysia atas sebab kemanusiaan.
Desakan itu seolah-olah mahu mencabar sikap keterbukaan kerajaan selain jelas membelakangkan aspirasi dan kepentingan Barisan Nasional (BN) selaku parti yang memerintah negara ini.
Sambil menyatakan rasa kecewa dengan desakan terbabit, Yang Dipertua PBTM Cawangan Melaka, Datuk Wira Ahmad Hamzah, mahu kerajaan tidak melayan desakan seperti itu yang seolah-olah merestui tindakan jahat Chin Peng terhadap rakyat di negara ini pada tahun 50-an.
"Cuba kita bayangkan jika negara pada ketika ini diperintah oleh PKM menerusi perjuangan kejamnya. Sudah pasti negara ini tidak akan wujud keamanan, kemakmuran dan pelaksanaan sistem demokrasi serta raja berpelembagaan seperti sekarang.
"Tidak ada sebab untuk kerajaan mengubah pendirian terhadap Chin Peng. Sifat kemanusiaan bukan alasan bagi memaafkan pelampau seperti pemimpin komunis itu dan rakyat ketika ini masih terasa kesengsaraan ketika PKM memimpin satu ketika dulu," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PBTM Cawangan Merlimau, di Taman Merlimau Baru, dekat sini semalam.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Jasin, berkata kekejaman PKM pimpinan Chin Peng tidak boleh dimaafkan kerana disebabkan angkara beliau, banyak anggota keselamatan khususnya tentera yang terkorban ketika mempertahankan tanah air.
"Selain negara menjadi huru-hara, ramai wanita menjadi balu, anak kecil menjadi yatim piatu dan ibu pula kehilangan anak kerana perbuatan kejam yang dilakukan oleh komunis pimpinan Chin Peng,” katanya.
Baru-baru ini, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan meminta kerajaan membenarkan bekas pemimpin komunis, Chin Peng, kembali ke Malaysia atas sebab kemanusiaan.
Beliau dilaporkan berkata, keganasan komunis sekitar tahun 50-an tidak lagi diamalkan dan komunisme di seluruh dunia termasuk di China serta Rusia juga sudah mengalami transformasi.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment