Kayveas selar Murugiah adakan mesyuarat
KUALA LUMPUR 24 Mei - Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Kayveas menyelar tindakan Senator Datuk T. Murugiah mengadakan mesyuarat agung tergempar (EGM) tanpa mendapat kelulusan Ahli Majlis Tertinggi parti itu.
Menurutnya, bekas Ketua Pemuda PPP itu tidak memahami perlembagaan parti dan mengelirukan rakyat dengan memperkenalkan peraturan baru yang bertentangan dengan parti.
''Kita kena menulis surat kepada setiausaha agung parti jika mengadakan mesyuarat tergempar. Selepas itu, setiausaha agung akan menghantar surat kepada semua perwakilan di seluruh negara.
''Tetapi Murugiah tidak melalui apa-apa prosedur yang termaktub dalam perlembagaan parti. Lagi pun, dia bukan ahli parti untuk mengadakan perhimpunan atau menjawat apa-apa jawatan termasuk jawatan presiden dalam PPP,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, EGM PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) melantik Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Presiden PPP.
EGM tersebut sebelum itu meluluskan undi tidak percaya terhadap Kayveas dan memecat semua ahli MT PPP termasuk Kayveas.
Pada 11 Mei lalu, Murugiah dipecat daripada PPP kerana didakwa mengamalkan politik wang dan diberi tempoh sehingga 30 Mei untuk membuat rayuan.
Tambah Kayveas, Murugiah tidak 'fasih' dalam undang-undang parti kerana pemilihan hanya boleh dibuat dalam mesyuarat agung parti dan bukannya dalam EGM.
''Saya juga diberitahu bahawa Murugiah menyalahgunakan jawatan dalam kerajaan untuk menempah PICC itu.
''Beliau menempah PICC dengan tujuan mengadakan Hari Timbalan Menteri Bersama Rakyat,'' jelasnya.
Sementara itu, Pergerakan Pemuda PPP Selangor dalam sidang akhbarnya berkata, pergerakannya menyokong penuh kepimpinan Kayveas untuk terus memimpin parti itu.
Ketuanya, Tamilvarasu Vella berkata, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana pihak yang cuba merosakkan nama PPP supaya jangan mengulangi perbuatan sedemikian.
''Kami juga meminta Ahli Majlis Tertinggi PPP supaya tidak melayan rayuan tujuh bekas ahli yang dipecat minggu lalu kerana mereka telah merosakkan nama PPP dan mencemarkan nama baik presiden,'' katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment