Saturday, May 30, 2009

Hutan Simpan STONG : Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab

Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab

KOTA BHARU 29 Mei – Kerajaan negeri perlu bertanggungjawab terhadap kelulusan bagi pembukaan ladang kelapa sawit di kawasan hutan simpan Stong sekiranya ia melibatkan kawasan yang sepatutnya dikekalkan sebagai khazanah negeri.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen berkata, sebarang keputusan yang dibuat harus mengambil kira manfaatnya kepada alam sekitar dan juga kesan kepada sektor pelancongan di kawasan yang mempunyai potensi besar itu.

“Dalam soal sedemikian, ia menuntut kerjasama dan keprihatinan semua pihak,’’ katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas keputusan kerajaan negeri baru-baru ini yang meluluskan 400 hektar hutan di Stong kepada sebuah syarikat.

Kelulusan itu agak mengejutkan kerana ia dipercayai berada dalam kawasan Taman Negeri yang bukan sahaja dianggap sebagai khazanah warisan tetapi juga gedung ilmu dan destinasi eko pelancongan.

Ekoran itu, Pengerusi Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN), Datuk Abdul Aziz Derashid dilaporkan meminta kelulusan itu dikaji semula kerana ia dibimbangi bukan sahaja menjejaskan kepentingan penduduk setempat tetapi juga kepentingan negeri dan generasi masa depan.

Menurut Yen Yen, seluruh dunia pada masa sekarang sangat peka kepada isu alam sekitar dan eko pelancongan.

‘‘Semua pihak perlu tentukan apa-apa yang kita hendak buat mesti membawa manfaat kepada keadaan alam sekitar. Kita harap semua orang boleh beri kerjasama,” katanya.

No comments: