Saturday, May 30, 2009

Muhyiddin penyelia pilihan raya kecil DUN Manek Urai

Muhyiddin penyelia pilihan raya kecil DUN Manek Urai
Oleh Norfatimah Ahmad, Anwar Hussin dan Norliza Wasilan
bhnews@bharian.com.my

Mustapa bertanggungjawab terhadap operasi jentera BN

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai penyelia yang akan menyelaraskan persiapan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan, 14 Julai ini.

Pada masa sama, mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed akan melaksanakan tugas sebagai pengarah pilihan raya kecil DUN berkenaan.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak, berkata Muhyiddin akan menyelia secara keseluruhan pilihan raya kecil Manek Urai, manakala Mustapa bertanggungjawab terhadap operasi serta keputusan harian sepanjang pilihan raya berkenaan.

"Mesyuarat MT juga membincangkan persiapan yang perlu diambil untuk menghadapi pilihan raya kecil berkenaan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno di sini, semalam.

Kerusi DUN Manek Urai kosong berikutan kematian penyandangnya yang juga wakil Pas, Ismail Yaacob, 60 akibat serangan jantung pada 22 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 6 Julai sebagai hari penamaan calon dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 14 Julai depan.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding bagi kerusi berkenaan, Perdana Menteri berkata, beliau masih menunggu cadangan Badan Perhubungan Umno Kelantan berhubung perkara itu.

"Bila sampai masanya, kita akan umum. Ada masa lagi," katanya.

Ditanya mengenai kriteria calon dikehendaki, Najib berkata: "Kita tidak tetapkan apa-apa kriteria, kita cuma nak calon yang terbaik."

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang meminta pengundi di pilihan raya DUN Penanti tidak menunaikan tanggungjawab mereka Ahad ini, Najib berkata:

"Pendirian kita ialah kita tidak terbabit sama sekali dalam pilihan raya kecil itu dan ini bermakna apa juga tindakan yang dilakukan adalah pada peringkat individu."





Mustapa pengarah pilihan raya Manek Urai


KUALA LUMPUR 29 Mei - Majlis Tertinggi (MT) UMNO melantik Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed sebagai Pengarah Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai penyelia pilihan raya kecil tersebut bagi pihak MT.

''Mustapa akan bertanggungjawab berkaitan dengan operasi harian dan membuat keputusan-keputusan sewajarnya sebagai pengarah pilihan raya kecil,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Ibu Pejabat UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Turut hadir Muhyiddin; Naib Presiden, Datuk Seri Shafie Apdal; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ketua Penerangan, Ahmad Maslan; Bendahari Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, Ketua Pergerakan Wanita, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Kerusi DUN Manek Urai diisytiharkan kosong berkuat kuasa 23 Mei lalu setelah penyandangnya, Ismail Yaacob meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 22 Mei lalu kerana sakit jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon DUN Manek Urai pada 6 Julai ini, manakala pengundian dijalankan pada 14 Julai

Mengenai calon DUN Manek Urai, Najib berkata, MT menunggu syor daripada Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Tambah beliau, tidak ada kriteria ditetapkan dalam pemilihan calon pilihan raya kecil berkenaan tetapi UMNO mahukan calon yang terbaik.

DUN Manek Urai membabitkan 12,293 pemilih berdaftar iaitu 12,268 pemilih biasa, manakala 25 lagi adalah pemilih pos.

Daripada segi komposisi pengundi, sebanyak 99.2 peratus pengundi di DUN Manek Urai adalah orang Melayu, manakala Cina (0.46 peratus) dan India (0.23 peratus).

BN sebelum ini pernah memenangi kerusi itu menerusi Mohamed Zulkifli pada pilihan raya umum 2004 dengan majoriti tipis 53 undi.

Bagaimanapun, Ismail mengalahkan Mohamed pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 1,352 undi.

No comments: