Saturday, May 30, 2009

ISU PKFZ : Chor nafi pernah jadi pemegang saham WBGB

Chor nafi pernah jadi pemegang saham WBGB


PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Chor Chee Heung, menafikan beliau mempunyai konflik kepentingan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Chor berkata, beliau dijemput menjadi pengarah bukan eksekutif Wijaya Baru Global Berhad (WBGB), sekitar 2004 bagi membantu mengetuai pusat perubatan ditubuhkan WBGB.

"Pada bila-bila masa saya bukan seorang pemegang saham dalam WBGB," katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

Chor berkata, beliau diminta Menteri Pengangkutan untuk mengambilalih pengerusi bukan eksekutif Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) sekitar awal 2007 menggantikan Datuk Yap Pian Hon.

"Sebaik diberitahu mengenai pelantikan itu, saya memaklumkan kepada lembaga pengarah WBGB bahawa saya ingin meletak jawatan sebagai pengarah. Surat lantikan (LPK) daripada Yang di-Pertuan Agong saya tidak terima sehingga Mei 2007.

"Saya menghadiri mesyuarat lembaga pengarah WBGB kali terakhir pada April 2007. Sepanjang tempoh sebagai ahli lembaga pengarah WBGB, tiada keputusan mengenai peranan Wijaya Baru Sdn Bhd dalam kerja PKFZ dan saya pada kebanyakan masa berurusan berkaitan dengan penubuhan pusat perubatan," katanya.

Chor berkata, beliau tidak berpindah ke LPK sehingga Jun 2007 dan hanya mempengerusikan mesyuarat lembaga pertama pada pertengahan Jun 2007.

"Saya tidak tahu menahu langsung mengenai jual beli itu. Pada Jun 2007 apa saja yang berlaku berkaitan PKFZ disifatkan sebagai nasi sudah menjadi bubur. Saya adalah pengerusi bukan eksekutif LPK untuk tempoh kurang sembilan bulan iaitu dari Jun 2007 hingga Mac 2008.

"Saya tidak pernah terbabit dalam sebarang kegiatan berkaitan PKFZ memandangkan pembelian tanah dalam PKFZ bersama dengan pembangunan di situ sudah mendapat kelulusan lebih awal iaitu 2002 dan 2004," katanya.

Katanya, semua syarat dan terma di antara kerajaan dan vendor atau syarikat pemaju dalam urusan penjualan atau pembelian bagi pembangunan berikutnya dibuat sebelum beliau menjadi pengerusi bukan eksekutif LPK.

No comments: