Saturday, May 30, 2009

SPRM ambil masa kaji laporan audit PKFZ

SPRM ambil masa kaji laporan audit PKFZ

Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my

LEE menyerahkan laporan audit mengenai PKFZ kepada Haryazi di Ibu Pejabat SPRM, semalam.

Masih terlalu awal menentukan bentuk tindakan: Shukri

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memerlukan masa untuk mengkaji laporan audit mengenai isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang diserahkan semalam sebelum menentukan tindakan lanjut.

Pengarah Siasatannya, Datuk Shukri Abdull, berkata masih terlalu awal untuk menentukan bentuk tindakan kerana laporan berkenaan baru diserahkan semalam.

"Berikan SPRM sedikit masa untuk mengkaji laporan berkenaan dan kemudian kita akan tentukan tindakan lanjut," katanya dalam jawapan menerusi SMS semalam.


Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Datuk Seri Azmi Khalid, berkata pihaknya dijangka memulakan siasatan bulan depan.

Katanya, beliau menerima salinan laporan audit tengah hari semalam dan mengarahkan jawatankuasa berkenaan menulis kepada Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) untuk mendapatkan laporan rasmi untuk tindakan lanjut.

"Kita akan adakan mesyuarat Jun ini dan memanggil semua pihak terbabit termasuk yang disebut dalam laporan berkenaan untuk membantu siasatan," katanya.

Bagaimanapun, katanya, masih terlalu awal untuk menentukan tindakan kerana laporan baru dikeluarkan dan memerlukan kajian terperinci.

Pengerusi LPK, Datuk Lee Hwa Beng semalam menyerahkan salinan laporan audit mengenai PKFZ kepada SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan.

Salinan laporan audit Pricewaterhouse Coopers Advisory Services Sdn Bhd (PwC) itu diserahkan kepada Pegawai Cawangan Pengurusan Maklumat, Bahagian Pendaftaran Rahsia SPRM, Haryazi Baharom di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini.

LPK melantik PwC untuk menyediakan laporan audit itu bagi mengkaji kedudukan PKFZ, termasuk aspek kos perbelanjaannya.

"Pada masa ini kita tidak boleh membuat sebarang andaian sama ada wujud penyalahgunaan kuasa, sebaliknya perlu menunggu hasil siasatan SPRM dan PAC," katanya.

Lee yang tiba di ibu pejabat SPRM jam 8 pagi turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed sebelum meninggalkan pejabat itu jam 9.10 pagi.

Dalam pertemuan dengan Abu Kassim itu, beliau memberi jaminan LPK dan firma audit, PwC akan bekerjasama dengan SPRM sepanjang siasatan dijalankan.

"Saya juga sudah mengarahkan semua kakitangan LPK memberi kerjasama penuh kepada SPRM," katanya.

Kelmarin, Lee berkata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat, mengarahkan beliau mengemukakan laporan audit itu kepada SPRM dan PAC. Laporan itu kini disiarkan di laman web www.pka-report.com selama dua minggu mulai semalam.








Laporan audit PKFZ diserah pada SPRM

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH ABD RAHIM
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 29 Mei - Pengerusi Pihak berkuasa Pelabuhan Klang (PKA), Datuk Lee Hwa Beng hari ini menyerahkan laporan audit projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan.

Menurutnya, laporan audit itu juga akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) seperti yang diarahkan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat semalam.

''PKA tidak ada kuasa untuk menjalankan siasatan, jadi kami serahkan kepada SPRM dan PAC.

''PKA akan bekerjasama rapat dengan SPRM sepanjang siasatan dijalankan. Selepas ini saya akan serahkan pula laporan kepada Pengerusi PAC, Tan Sri Azmi Khalid tetapi masanya belum ditentukan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan laporan itu yang diterima oleh Pegawai Pengurusan Maklumat, Bahagian Pendaftaran Rahsia, SPRM, Haryazi Baharom di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Beliau sebelum itu bertemu TimbalanKetua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Abu Kassim Mohamed kira-kira 10 minit bagi memberikan beberapa penjelasan.

Hub perkapalan PKFZ seluas 405 hektar yang meliputi gudang, bangunan pejabat dan hotel bertaraf empat bintang menimbulkan kontroversi berhubung kos pembangunan tersebut meningkat daripada kos asal yang diluluskan kerajaan.

Hwa Beng berkata, beliau telah menyatakan kesediaan PKA untuk bekerjasama dengan SPRM dengan mendedahkan segala dokumen termasuk perkhidmatan PriceWaterhouseCoopers (PwC) dalam menjalankan audit supaya mereka turut memberikan kerjasama.

Mengenai arahan Tee Keat supaya merujuk kepada penasihat profesional bagi menstruktur semula tanggungjawab kewangan PKA terhadap PKFZ, beliau memberitahu, PKA akan mengumpulkan kumpulan profesional untuk melihat semua dokumen perjanjian.

''Kumpulan profesional ini terdiri daripada peguam dan akauntan yang akan dilantik daripada pihak luar," katanya.

Mengulas lanjut, Hwa Beng bagaimanapun berkata, PKA tidak bercadang mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang disenaraikan dalam laporan itu sebelum siasatan SPRM selesai.

''Kita perlu menunggu keputusan dan tindakan daripada SPRM terlebih dahulu jika terdapat staf kami terlibat dalam salah laku tersebut," katanya.

No comments: