Saturday, May 30, 2009

Selamat tinggal Gerakan - Cheng Guan

Selamat tinggal Gerakan - Cheng Guan

Oleh HASNURUL MOHAMED
utusanpenang@utusan.com.my


BUTTERWORTH 29 Mei - Selepas 19 tahun menjadi ahli dan berjuang dalam parti Gerakan, Naib Presidennya, Huan Cheng Guan (gambar) hari ini mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu.

Menurutnya, keputusan itu adalah muktamad dan beliau akan membuat pengumuman rasmi dalam tempoh tiga minggu akan datang.

Katanya, sebab utama beliau mengambil keputusan untuk keluar daripada parti itu adalah kerana tidak sehaluan dan sependapat dengan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan dan menyedari Gerakan telah hilang hubungan dan sentuhan dengan peringkat akar umbi.

"Saya berasakan pucuk pimpinan parti tidak lagi mengekalkan hubungan mereka dengan peringkat akar umbi. Jadi apabila membuat keputusan, mereka tidak berpandukan atau mengikut perlembagaan parti.

"Sebaliknya, mereka menggunakan undang-undang hutan rimba dalam menerajui parti. Sikap tidak mempedulikan pandangan akar umbi ditolak ke tepi," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan yang dibuatnya itu bukanlah bertujuan menghasut ahli Gerakan untuk turut menyertai tindakan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau berasakan banyak bahagian dan cawangan Gerakan di Pulau Pinang termasuk di negeri-negeri lain yang akan mengikut jejak langkahnya.

Katanya, dalam tempoh tiga minggu akan datang, beliau akan menyerahkan surat peletakan jawatannya dan keluar parti secara rasmi kepada Presiden Gerakan.

No comments: