Saturday, May 30, 2009

Perhimpunan khas UMNO bincang pindaan

Perhimpunan khas bincang pindaan


KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Khas Umno akan diadakan pada 13 hingga 16 Oktober depan bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti untuk memastikan sistem pemilihan lebih telus, terbuka dan memberi peluang kepada ahli memilih pemimpin.

Majlis Tertinggi (MT) menetapkan tarikh itu semalam bagi membolehkan pindaan perlembagaan dapat dilakukan serta memberi mandat kepada lebih ramai ahli memilih kepimpinan tertinggi yang dibuat secara serentak di 191 bahagian berbanding dipilih perwakilan perhimpunan ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, draf cadangan berhubung pindaan berkenaan sudah hampir siap dan akan diedarkan kepada perhubungan Umno negeri bagi mendapat pandangan mereka.

"MT akan membuat ketetapan mengenai peruntukan yang akan dipinda dan seterusnya akan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Khas.

"Selepas perhimpunan khas itu selesai, ia akan dibawa kembali kepada Perhimpunan Agung Umno seperti biasa," kata Najib yang juga Presiden Umno pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Sebelum ini, kepemimpinan dipilih kira-kira 2,000 perwakilan sedangkan Umno dianggotai lebih tiga juta ahli.

Mesyuarat MT pada 24 April lalu bersetuju untuk meminda perlembagaan parti terhadap kaedah dan proses pemilihan parti supaya lebih telus, terbuka dan demokratik.

MT juga menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi mengendalikan cadangan berhubung pindaan dan perubahan ke atas perlembagaan itu, serta membawa cadangan itu kepada pertimbangan semula sebelum dikemukakan dalam perhimpunan agung khas.

Najib berkata mesyuarat MT juga bersetuju hanya satu usul saja yang akan dibincangkan pada perhimpunan agung depan iaitu ucapan usul penghargaan kepada ucapan Presiden.

"Di bawah usul ini nanti, perwakilan boleh membawa apa juga perkara yang ingin dibawa," katanya.

Sementara itu, Najib berkata, MT juga mengesahkan menerima kemasukan semula bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta anak lelakinya, Datuk Mokhzani.

No comments: