Saturday, May 30, 2009

Umno guna komunikasi bersemuka pengundi

Umno guna komunikasi bersemuka pengundi

Oleh Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my

Pekerja penerangan boleh bermalam di rumah penduduk

KUALA LUMPUR: Jentera Penerangan Umno akan menggunakan pendekatan komunikasi bersemuka dengan pengundi untuk mendapatkan maklum balas terus daripada rakyat di akar umbi bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, di Kelantan, Julai depan.

Pendekatan itu untuk membolehkan Umno dan Barisan Nasional (BN) mengetahui apakah perkara perlu dilaksanakan untuk memenangi hati rakyat tanpa menunggu maklumat pihak ketiga yang kadang-kadang tidak menepati aspirasi rakyat.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata menerusi pendekatan itu beliau mahu jentera penerangan mengambil inisiatif bertemu dan bermalam di rumah penduduk di DUN itu bagi mewujudkan suasana mesra pengundi dan mudah memahami isi hati rakyat.

"Ketika lawatan pertama ke DUN Manek Urai Rabu lalu, saya sempat bermalam di rumah penduduk di situ dan jentera penerangan Umno negeri dan pusat turut bermalam di beberapa rumah penduduk lain.

"Hasilnya saya mendapat maklum balas secara terus daripada rakyat yang boleh dijadikan panduan untuk Umno dan BN memenangi hati rakyat, termasuk melaksanakan konsep kempen mesra rakyat," katanya di sini, semalam.

Kelmarin, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Julai, manakala pengundian pada 14 Julai depan.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, siri ceramah tetap diadakan sebagai saluran biasa berkempen dalam pilihan raya.

Katanya, beliau belum lagi memutuskan berapa banyak siri ceramah akan diadakan tetapi akan berbincang dengan jentera penerangan Umno Kelantan yang diterajui Dali Husin.

"Saya akan jumpa Jawatankuasa Penerangan Umno Kelantan Isnin ini di Kota Bharu untuk membincang dan merangka strategi gerak kerja jentera penerangan bagi menghadapi pilihan raya kecil DUN Manek Urai," katanya.

Ditanya peluang BN dalam pilihan raya kecil DUN itu, beliau berkata Pas tidak boleh berasa selesa kerana rakyat boleh membuat keputusan sewajarnya berdasarkan apa yang mereka nikmati sepanjang di bawah kerajaan Pas.

Katanya, BN tetap ada peluang sekali pun DUN itu dikatakan antara kubu kuat Pas berdasarkan parti itu pernah tewas kepada BN pada pilihan raya umum 2004.

No comments: