Saturday, May 30, 2009

Kementerian akan teruskan pembangunan PKFZ

Kementerian akan teruskan pembangunan PKFZ

SHAH ALAM 29 Mei - Kementerian Pengangkutan akan tetap meneruskan pembangunan di Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) walaupun dilaporkan wujud kelemahan serta konflik dari segi tadbir urus oleh syarikat juruaudit, PricewaterhouseCoopers Advisory Services Sdn. Bhd. (PwC).

Menterinya, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, keputusan itu merupakan pandangan peribadi beliau yang merasakan projek berkenaan harus dilaksanakan atas dasar kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Ini kerana katanya, projek berkenaan menggunakan peruntukan melibatkan wang rakyat melalui pinjaman mudah (soft loan).

''Secara optimisnya melalui pandangan peribadi serta berdasarkan pemerhatian dan kajian yang dilakukan oleh pihak-pihak berkenaan termasuk pelabur berpotensi, saya rasa rakyat percaya ia (PKFZ) adalah projek yang berdaya maju.

''Dan kita perlu lakukan untuk kepentingan rakyat kerana peojek ini melibatkan pinjaman mudah, maknanya menggunakan wang rakyat.

''Apa yang saya cakap ini bukan untuk populariti tetapi untuk kepentingan rakyat. Saya mungkin pertaruhkan kerjaya politik saya dalam hal ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang hari ini yang mahu kerajaan supaya menjual PKFZ sebagai satu langkah untuk mengatasi masalah kerugian yang membebani Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA).

Semalam, PwC telah mengeluarkan laporan mengenai PKFZ dan sekaligus mendedahkan wujud konflik kepentingan, kelemahan urus tadbir dan pengurusan sebagai punca utama PKFZ mengalami pelbagai masalah.

Dalam laporan itu, terdapat beberapa perkara yang didedahkan antaranya ialah wujud beberapa pihak yang pernah mempunyai kepentingan dalam pemilikan tanah seluas 404 hektar yang menjadi tapak PKFZ, turut mempunyai kepentingan dalam syarikat yang menjual tanah terbabit kepada PKA, Kuala Dimensi Sdn. Bhd. (KDSB).

Selain itu, laporan itu turut menyatakan beberapa kelemahan pentadbiran dalam urusan pembelian tanah dan pembangunan di antara PKA dengan KDSB.

Walaupun Kabinet meluluskan pembelian tapak bagi pembangunan PKFZ, surat perintah pembangunan serta perjanjian sampingan selain perjanjian kerja tambahan antara PKA dan KDSB tidak dikemukakan untuk mendapatkan kelulusan Kabinet.

PKA dan Kementerian Kewangan juga didapati gagal memaklumkan kepada Kabinet mengenai ketidakupayaan PKA membiayai projek PKFZ, sebaliknya PKA memburukkan keadaan dengan menandatangani beberapa perjanjian pembangunan baru.

Dalam pada itu, Tee Keat turut memberitahu, ekoran laporan PwC itu, laporan terhadap Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah pun dibuat.

Bagimanapun katanya, selepas kedua-dua laporan (SPRM dan PAC) dibuat, PKA perlu melantik perunding kewangan dan perundangan bagi membolehkan masalah itu diatasi dan seterusnya merangka tindakan baru bagi melaksanakan semula pembangunan dan operasi PKFZ.

No comments: