Saturday, May 30, 2009

'Perang' PPP kini menular ke Pulau Pinang

'Perang' PPP kini menular ke Pulau Pinang

PULAU PINANG 29 Mei - Kemelut Parti Progresif Penduduk (PPP) kian bergolak apabila ia menular ke negeri ini pula.

Bukan sahaja PPP kini mempunyai 'dua orang Presiden' malah di negeri ini turut mempunyai 'sepasang' Pengerusi Negeri.

Hari ini, pihak media dijemput ke sidang akhbar oleh bekas Naib Pengerusi PPP Negeri, V. Nantha Kumar bagi mengecam tindakan Datuk M. Kayveas yang didakwa kini merupakan bekas Presiden.

Nantha mendakwa, beliau kini merupakan Pengerusi PPP Negeri yang baru setelah dilantik dan mendapat persetujuan 25 ahli majlis tertinggi (MT) pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) PPP, 24 Mei lalu.

"Pelantikan saya ini sah kerana dipilih pada EGM minggu lalu bersama tiga Naib Presiden serta 25 ahli MT PPP yang baru.

"Di negeri ini sahaja, kira-kira 60 peratus ahli PPP menyokong penuh 'Presiden PPP' yang baru, Senator Datuk T. Murugiah,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

EGM PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu melantik Murugiah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebagai Presiden PPP yang baru.

EGM tersebut sebelum itu meluluskan undi tidak percaya terhadap Kayveas dan memecat semua ahli MT PPP termasuk Kayveas.

Pada 11 Mei lalu, Murugiah dipecat daripada PPP kerana didakwa mengamalkan politik wang dan diberi tempoh sehingga 30 Mei untuk membuat rayuan.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai sidang akhbar tersebut, Pengerusi PPP negeri, Datuk Dr. Loga Bala Mohan menyifatkan pelantikan Nantha bersama 'sekutunya' tidak sah kerana EGM itu sendiri tidak mengikut prosedur dalam perlembagaan parti.

Katanya, segala apa yang diperkatakan oleh 'pengurusan kepimpinan baru PPP negeri' itu tidak mengikut saluran perlembagaan yang betul.

"Mereka semua tidak mendapat pengesahan daripada pucuk pimpinan PPP yang kini masih diketuai oleh Kayveas,'' jelasnya.

No comments: