BN tiada kepentingan dalam PKFZ
SHAH ALAM: Kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor tiada kepentingan dalam projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) yang membabitkan kos awal sebanyak RM1.85 bilion, kata bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.
Malah katanya, pelantikan Datuk Abdul Rahman Palil sebagai Pengerusi Koperasi Pembangunan Pulau Lumut (KPPL) iaitu pemilik tapak projek PKFZ, bukan dibuat atas kapasiti beliau sebagai Exco Negeri ketika itu.
Dr Mohamad Khir berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sementa itu dilantik sebagai Pengerusi oleh ahli KPPL yang seramai kira-kira 2,500 orang dengan sebahagian besarnya nelayan.
"Pengambilan tanah dan penjualan tanah untuk tapak PKFZ tiada kaitan secara langsung dengan kerajaan negeri. Malah isu ini tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco ketika itu," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Dr Mohamad Khir berkata, kerajaan negeri memberikan tanah itu kepada KPPL selepas dimohon antara 1995 hingga 1997 dan KPPL mengadakan kerjasama membangunkan tanah itu dengan Kumpulan Dimensi Sdn Bhd (KDSB).
Beliau berkata, tanah seluas 404 hektar itu diambil mengikut Seksyen 3(1)(b) Kanun Tanah Negara yang membolehkan tanah itu diambil untuk perniagaan.
Katanya, KDSB menjual tanah itu kepada Lembaga Pelabuhan Klang untuk dijadikan tapak PKFZ pada harga RM25 sekaki persegi dengan mengambil kira kos pembangunan asas seperti menambak tanah, membina perparitan, jalan, jambatan, paip dan bekalan air yang telah dilaksanakan.
"Tanah ini dijual lebih mahal kerana mengambil kira semua kos. Tanah ini asalnya berlumpur dan berair tidak sesuai untuk pembangunan.
"Kerajaan negeri ketika itu tidak terbabit secara langsung dengan pembelian ini kerana ia membabitkan urusan antara KDSB dengan LPK," katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment