Saturday, May 30, 2009

PKR sedia tahan bas bawa keluar pengundi

PKR sedia tahan bas bawa keluar pengundi

BUKIT MERTAJAM 29 Mei - Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan menahan bas yang disyaki membawa pengundi keluar dari kawasan Penanti pada hari pengundian pilihan raya kecil kawasan itu, 31 Mei ini.

Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Mohd. Akin mendakwa, ada cubaan untuk membawa pengundi keluar dari kawasan tersebut sebagai usaha mengurangkan peratusan pengundian pada pilihan raya kecil itu.

''Saya nak beri amaran kepada pemimpin UMNO di kawasan ini (Penanti) kerana hasil risikan kita, ada cubaan nak bawa pengundi keluar dari Penanti pada 31 Mei ini dengan pelbagai alasan.

''Kemungkinan kita akan ambil tindakan termasuk menahan bas yang membawa keluar pengundi. Kalau nak keluar, mereka kena mengundi terlebih dahulu," katanya di sini hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, pihaknya sudah membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyiasat perkara itu.

Katanya, parti itu mengambil pendirian bahawa setiap pengundi yang hendak dibawa keluar dari kawasan itu dengan apa sebab sekalipun, perlu membuang undi terlebih dahulu.

''Kita akan mendapatkan bantuan daripada SPR dan pihak polis dalam hal ini, kita mengambil sikap bahawa kalau hendak keluar, mereka kena mengundi dulu," katanya.

No comments: