Saturday, May 30, 2009

Kayveas bukan Presiden PPP?

Kayveas bukan Presiden PPP?


Dr. N.A Sharmuganathan (tengah), R. Rajendran dan M. Jeyaratnam (kanan) menunjukkan bukti kepada media mengenai M. Kayveas selepas hadir di Pejabat Pendaftar Pertubuhan di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 29 Mei - Kemelut dalaman Parti Progresif Penduduk (PPP) kian berkecamuk apabila kumpulan penyokong Senator Datuk T. Murugiah hari ini 'mengeluarkan peluru' terbaru mereka bagi menundukkan kepimpinan Datuk M. Kayveas yang mendakwa setakat ini masih sah sebagai Presiden parti itu.

Dalam tindakan terbaru itu, tiga orang ahli PPP dengan dua daripadanya telah dipecat sebelum ini bertindak membuat laporan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) bahawa sebenarnya Kayveas sudah kehilangan kelayakan memegang sebarang jawatan parti itu sejak 2005.

Jurucakap kumpulan itu, S. Muthulingam berkata, ini kerana Kayveas telah didenda sebanyak RM5,000 di bawah Seksyen 103D, Akta Profesion Undang-Undang 1976 pada 17 Mac 2005.

Ini sekali gus menyebabkan Kayveas tidak layak menjadi Presiden sehingga selepas lima tahun daripada tarikh tersebut.

''Seksyen 9A (1) (b) akta tersebut menyebut bahawa seseorang yang disabitkan kesalahan dan didenda tidak kurang RM2,000 atau hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun di bawah mana-mana undang-undang, maka orang itu tidak layak memegang apa-apa jawatan suatu pertubuhan berdaftar.

''Tetapi Kayveas telah mengambil bahagian dalam pemilihan PPP pada November 2005 dan menang tanpa bertanding sebagai Presiden meskipun mengetahui beliau telah didenda oleh Majlis Peguam," katanya kepada pemberita selepas menghantar laporan berkenaan di Ibu Pejabat ROS di sini hari ini.

Hadir sama dua lagi ahli yang dipecat oleh Lembaga Disiplin PPP pada 16 Mei lalu iaitu M. Jeyaratnam dan R. Rajendran.

Buletin rasmi Majlis Peguam, Infoline pada Mac/April 2005 menyenaraikan Kayveas antara 13 peguam yang dikenakan tindakan disiplin iaitu denda sebanyak RM5,000 pada 17 Mac 2005 di bawah seksyen 103D Akta Profesion Undang-Undang 1976.

Ahad lalu, kumpulan pro Murugiah bertindak mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) membabitkan 1,760 perwakilan yang didakwa melibatkan lebih dua pertiga cawangan PPP di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

EGM itu meluluskan enam usul termasuk undi tidak percaya ke atas Kayveas sekali gus membawa kepada pelucutan jawatan Presiden yang disandangnya sejak 1993.

Serentak itu, EGM tersebut turut membatalkan pemecatan Murugiah lantas memilihnya sebagai Presiden baru.

Bagaimanapun Kayveas menolak keputusan EGM tersebut dan mendakwa ia tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan parti.

Status sama ada EGM itu sah atau sebaliknya sedang disiasat oleh ROS dan pada masa yang sama Kayveas masih dianggap Presiden yang sah.

Menurut Muthulingam, pihaknya hanya menyedari bahawa Kayveas pernah didenda pada minggu lalu, lantas mengambil keputusan untuk melaporkan perkara itu kepada ROS.

''Kami laporkan kepada ROS terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis.

''Untuk laporan polis, itu nanti kami akan serahkan kepada pihak peguam bila kami perlu membuat laporan," katanya.

Beliau menyatakan, Kayveas bukan sekadar tidak layak menjadi Presiden malah melanggar peruntukan dalam Akta Pendaftar Pertubuhan apabila bertanding dalam pemilihan parti pada 2005 dan memegang jawatan Presiden.

''Beliau boleh dianggap bersalah dan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau didenda RM10,000 atau kedua-duanya.

''Kayveas sepatutnya menulis surat kepada ROS mengenai hukuman denda yang telah dikenakan ke atasnya tetapi dia tetap bertanding dan memegang jawatan Presiden.

''Memang soal keputusan ahli parti memilih Kayveas dahulu adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikaikan oleh ROS atau mahkamah tetapi ini soal kelayakan beliau untuk memegang jawatan itu," katanya.

Tambahnya, Kayveas juga tidak menghantar laporan atau penyata pemilihan PPP dan mesyuarat agung tahunan (AGM) parti pada 2005 kepada ROS sekali gus boleh menyebabkan sesuatu pertubuhan dibatalkan pendaftarannya.

''Ini menunjukkan Kayveas langsung tidak menjaga parti," katanya.

Justeru, Muthulingam menggesa ROS mengambil tindakan terhadap Kayveas mengikut peruntukan dalam Akta Perdaftar Pertubuhan.

''Memandangkan PPP telah mengadakan EGM dan memilih Murugiah sebagai Presiden parti, maka ROS perlu mengiktiraf beliau sebagai Presiden PPP yang sah," katanya.

No comments: