Saturday, May 30, 2009

Anwar mahu tawan Perlis

Anwar mahu tawan Perlis

KANGAR 29 Mei - Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan impian terbarunya untuk menakluk Perlis, satu-satunya negeri di utara tanah air yang terlepas daripada tsunami politik pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu.

Anwar berkata, PKR akan menggerakkan semua jentera yang ada bersama pakatan pembangkang lain dalam usaha untuk merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

Katanya, walaupun tiada wakil Parlimen daripada pakatan pembangkang di negeri itu, usaha akan dibuat termasuk melantik Ahli Parlimen PKR di Kedah untuk memantau masalah masyarakat Perlis.

''Perlis berada tidak jauh dari negeri pakatan pembangkang Kedah. Saya akan memastikan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim dan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul melaksanakan tugas berkaitan bagi membantu menawan Perlis daripada BN.

''Perkara ini tidak akan habis di sini, masalah rakyat Perlis akan dibawa ke Parlimen dan didebatkan," katanya ketika berucap dalam satu perhimpunan di Kuala Perlis di sini semalam.

Terdahulu beliau menerima 630 borang keahlian memasuki PKR.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis, Zamri Sapar ketika ditanya mengenai desas-desus kemasukan bekas Ketua Penerangan UMNO Perlis, Datuk Hashim Suboh ke dalam PKR, beliau berkata, mereka sering berhubung baik.

''Hashim menyatakan hasratnya untuk menyertai PKR tetapi kami tidak mahu memberikan tekanan kepadanya.

''Biar hasrat tersebut datang dari dalam dirinya dan bukan orang lain," ujarnya.

No comments: