Saturday, May 30, 2009

'Ahli perlu perkukuh Umno'

'Ahli perlu perkukuh Umno'


KUALA LUMPUR: Umno perlu memberi tumpuan kepada aspek imej, kredibiliti dan integriti jika mahu terus dilihat sebagai parti paling relevan membela nasib dan kepentingan orang Melayu.

Bekas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata pembangkang menyerang Umno berdasarkan tiga aspek itu bagi mewujudkan persepsi di kalangan orang Melayu kononnya ada parti lain yang boleh membela nasib orang Melayu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, berkata ahli Umno tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang menyebarkan fitnah kononnya Umno akan berkubur selepas pilihan raya umum ke-13.

“Sebaliknya, ahli Umno perlu menanam pendirian yang parti ini akan terus wujud selepas pilihan raya umum nanti dan relevan untuk membela nasib orang Melayu,” katanya pada Forum Bual Bicara ‘Umno Menempuh Arus’ di ibu pejabat Umno, malam tadi.

Selain beliau, bekas Pengarang Kumpulan New Straits Times Sdn Bhd, Datuk Ahmad Talib dan pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam turut menjadi ahli panel forum yang dikendalikan Exco Pemuda Umno, Datuk Pirdaus Ismail.

Sementara itu, Ahmad menegaskan kekuatan Umno bukan bergantung kepada laporan disebarkan melalui media arus perdana termasuk yang dikuasai parti itu.

Sebaliknya beliau berkata, Umno menjadi kuat kerana disokong oleh pemimpinnya yang hebat, kesepakatan antara pemimpin tertinggi dan ahli akar umbi di samping mendapat sokongan daripada parti komponen BN.

No comments: