Saturday, May 30, 2009

Pemuda Pas pertahan ulama

Pemuda Pas pertahan ulama

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 Mei - Dewan Pemuda Pas berikrar untuk mempertahankan institusi kepimpinan ulama kerana ia merupakan satu gagasan yang telah menjadi sumber kekuatan kepada parti itu selama ini.

Ketuanya yang baru, Nasrudin Hassan Tantawi berkata, Pemuda juga mahu kepimpinan ulama diperkasakan lagi sejajar dengan kedudukan Pas dalam politik arus perdana yang kini disifatkan semakin kukuh.

Justeru kata beliau, pihaknya akan memastikan hanya individu atau satu kumpulan kolektif yang memenuhi tiga kriteria kepimpinan ulama iaitu beriman, bertaqwa dan berilmu sahaja diberi mandat menerajui Pas.

''Pemuda amat mengambil berat tentang perkara ini kerana ia melibatkan dasar yang ditetapkan dalam Islam. Islam telah menetapkan untuk menjadi pemimpin mereka perlu di kalangan orang yang beriman, bertaqwa dan berilmu.

''Ini soal asas dalam pemerintahan Islam. Mengenai latar belakang pendidikan, itu soal lain kerana bagi Pemuda, tiga kriteria perlu dipenuhi terlebih dahulu,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nasrudin sebelum ini telah diumumkan sebagai pemimpin tertinggi dalam Dewan Pemuda Pas selepas beliau berjaya memenangi jawatan itu tanpa bertanding.

Pengumumannya telah dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali pada satu sidang akhbar 26 Mei lalu.

Sementara itu Nasrudin berkata, beliau telah menggariskan tiga perkara untuk memantapkan lagi Pemuda terutama dalam memastikan keberkesanannya sebagai barisan hadapan parti.

Pertama beliau berkata, menjadikan Islam sebagai teras perjuangan.

''Saya tidak akan berkompromi dalam perkara ini kerana Pas terbina atas nama Islam dan Islam merupakan teras perjuangan kami. Islam juga membentuk kepimpinan ulama dalam parti.

"Kami tidak akan menerima sesuatu yang selain daripada Islam,'' katanya.

Kedua, beliau dan rakan-rakan akan membuat gerakan pengukuhan dalaman parti dengan bermatlamatkan tiga objektif utama iaitu akidah, gerakan berasaskan kepada wadah perjuangan Islam tulen serta keperibadian anggota yang soleh.

''Ketiga, ialah mengemas kini jalinan hubungan dengan pihak luar parti supaya perjuangan Pas serta dakwah parti kami berjalan dengan baik,'' katanya.

Selain itu beliau berkata, Pemuda juga akan meneroka jaringan hingga ke peringkat antarabangsa iaitu dengan menjalinkan kerjasama dengan badan-badan Islam di luar negara.

Beliau berkata, setakat ini tumpuan hanya diberikan kepada pertubuhan Islam di rantau ASEAN dan ia perlu diperluaskan ke negara-negara Timur Tengah.

''Langkah ini penting supaya Pas tidak ketinggalan memperjuang isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan kepentingan ummah secara keseluruhan,'' ujarnya.

No comments: