Saturday, May 30, 2009

ISU PKFZ : Kerajaan susun semula pengurusan

Kerajaan susun semula pengurusan

KUALA LUMPUR 29 Mei - Kerajaan sedang dalam proses menyusun semula pengurusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan anak syarikatnya, Port Klang Free Zone Sdn. Bhd. setelah laporan audit mendedahkan kelemahan urus tadbir sebagai punca projek pembangunan Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dirundung pelbagai masalah.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, selaras dengan laporan PricewaterhouseCoopers Advisory Services (PwC) Sdn. Bhd. yang telah didedahkan kepada umum semalam, pihaknya akan menstrukturkan semula kewangan LPK dan PKFZ serta menyelesaikan segala isu yang timbul menggunakan saluran perundangan.

''Langkah ini diambil kerana kerajaan berkongsi kebimbangan rakyat Malaysia tentang peningkatan kos, kelemahan urus tadbir dan pengurusan PKFZ seperti yang telah didedahkan di dalam laporan audit terbabit.

''Tindakan ini juga menunjukkan kerajaan memang berhasrat mengubah pengurusan cara lama kepada corak pentadbiran lebih terbuka dan telus selaras dengan gagasan yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," kata kenyataan itu.

Hab muatan dan pemindahan kapal PKFZ milik LPK seluas 405 hektar yang menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang diselubungi kontroversi selepas beberapa pihak mendedahkan bahawa kos pembangunannya melambung tinggi daripada nilai asalnya yang kurang daripada RM2.5 bilion meningkat kepada RM4.6 bilion.

Menurut kenyataan itu, langkah pembetulan yang sedang dilakukan kerajaan akan membolehkan PKFZ berdaya maju pada jangka masa panjang sejajar dengan objektif asal projek tersebut untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai hab muatan dan pemindahan kapal serantau.

Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, tindakan mendedahkan laporan audit berkenaan semalam akan menghentikan spekulasi berhubung isu PKFZ.

''Kabinet berpandangan bahawa adalah penting agar rakyat Malaysia mendapat laporan tentang urutan peristiwa yang membawa kepada kedudukan terkini PKFZ.

''Terbitan laporan tersebut kepada awam menunjukkan komitmen kerajaan untuk menjadi telus dan komited dalam mengurangkan bebanan pembayar cukai,' ujarnya.

No comments: