Pinda perlembagaan
Oleh HATA WAHARI,
HERMAN HAMID,
SAIFUL HAIZAN HASAM
dan ARSHAD KHAN
pengarang@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 29 Mei – Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang bermesyuarat hari ini menetapkan 13 hingga 16 Oktober depan sebagai tarikh berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2009.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, untuk perhimpunan tahun ini, ia akan dimulakan dengan Mesyuarat Agung Khas yang bertujuan untuk meminda perlembagaan parti.
Menurutnya, draf cadangan untuk pindaan berkenaan sudah hampir siap dan ia akan diedarkan kepada badan perhubungan negeri tidak lama lagi bagi mendapatkan maklum balas dan ulasan mereka.
‘‘Selepas itu, MT akan membuat ketetapan tentang peruntukan yang akan dipinda dan seterusnya membentangkannya dalam Mesyuarat Agung Khas. Selepas selesai, maka mesyuarat akan kembali kepada perhimpunan agung seperti biasa.
‘‘Diputuskan juga hanya satu usul sahaja akan dibincang iaitu usul penghargaan kepada ucapan Presiden dan di bawah usul ini semua orang boleh bawa apa juga perkara yang hendak dibawa nanti,’’ katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat MT di sini hari ini.
Hadir sama timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Najib berkata, MT juga bersetuju supaya jawatan seseorang pemimpin yang didakwa di mahkamah digantung sehingga proses perbicaraan selesai dan jika didapati tidak bersalah maka jawatannya akan dikembalikan.
Menurut Perdana Menteri, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat MT hari ini setelah menerima syor daripada Jawatankuasa Pengurusan.
‘‘Kita dari segi prinsipnya bersetuju atas syor itu bahawa seseorang yang dikenakan tuduhan di mahkamah, jawatan dia akan digantung.
‘‘Sekiranya dia berjaya dalam proses mahkamah maka dia akan dapat semula jawatannya, itu secara prinsipnya,’’ jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut mengumumkan yang MT bersetuju atas cadangan supaya ahli Lembaga Disiplin UMNO yang merangkumi panel penyiasatan, tribunal dan rayuan ditambah.
Sehubungan itu katanya, lima pelantikan baru dibuat yang terdiri daripada bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Ismail Saidin, peguam Datuk Zuraidah Atan; bekas Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Wahab Wahid dan dua bekas pegawai polis iaitu Nordin Saidin dan Mohamad Zin Ismail.
Najib pada sidang akhbar berkenaan turut mengumumkan yang Mesyuarat MT hari ini turut mengesahkan dan menerima secara rasmi kemasukan semula Tun Dr. Mahathir Mohamad; isterinya Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan anaknya, Datuk Mokhzani ke dalam parti itu.
Dalam pada itu, ditanya mengenai kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang mahukan ahli UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti tidak keluar mengundi, Najib berkata;
‘‘Kita menjauhkan diri dengan pilihan raya kecil berkenaan. Keputusan UMNO, kita tidak terlibat dengannya.
‘‘Apa sahaja tindakan yang diambil ia adalah di peringkat individu. Parti tidak mengambil apa-apa pendirian. Kita tidak terlibat sama sekali,’’ .
Katanya, sebarang saranan ataupun gesaan yang dibuat oleh ahli-ahli UMNO mengenai Pilihan Raya DUN Penanti, ia adalah pandangan peribadi.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment