Saturday, May 30, 2009

ISU PKFZ : Syarikat mahu saman PwC

Syarikat mahu saman PwC


KUALA LUMPUR: Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB), pemaju Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap PriceWaterhouseCoppers (PwC) kerana laporannya didakwa mencemari imej dan menjejaskan perniagaan syarikat berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Wijaya Baru Global Berhad (WBGB), Datuk Faizal Abdullah, berkata PwC membuat komen bersifat nakal mengenai peranan KDSB dalam projek PKFZ.

Katanya, peguam WBGB selaku syarikat induk KDSB sedang mengkaji tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap PwC bagi mengembalikan keyakinan pelabur dan memperjelaskan kepada umum mengenai kedudukan sebenar projek PKFZ.

"Laporan PwC yang banyak menggunakan perkataan bersifat andaian seperti 'mungkin', 'difahamkan' dan 'ada kebarangkalian' menunjukkan seolah-olah ada unsur penipuan dalam urusan pembelian tanah antara KDSB dan Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Berhad (KPPLB).

"Ini bukan saja menjejaskan projek PKFZ yang kini dijauhi pelabur, malah perniagaan lain WBGB terkena tempias dan terjejas akibat kemelut ini.

"Saham syarikat pada tahap purata RM1.80 sesaham dalam tempoh lima tahun lalu kini merudum sehingga 30 sen seunit. Sudah tentu kami mahu ganti rugi untuk kerugian ini," katanya dalam satu sidang media, di sini semalam.

Walaupun LPK memberi surat pengecualian tanggungjawab kepada PwC selaku juruaudit yang menyediakan laporan PKFZ, ia tidak memberi kekebalan kepada PwC jika wujud kecuaian dalam laporan itu yang memudaratkan pihak ketiga.

Faizal berkata, laporan PKFZ disediakan PwC untuk LPK mengenai kemelut berhubung projek berkenaan dan tidak sewajarnya mengheret sama KDSB dan membuat kenyataan yang menjejaskan kewibawaan syarikat.

No comments: