Saturday, July 04, 2009

Tindakan PR tak halang BN terus berkhidmat

Tindakan PR tak halang BN terus berkhidmat

KUALA LUMPUR: Pelbagai pihak menganggap tindakan Pakatan Rakyat menubuhkan Jawatankuasa Ahli Parlimen hanyalah helah untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap masalah sebenar yang membelenggu mereka ketika ini.

Penubuhan jawatankuasa itu juga jelas bukannya kabinet bayangan seperti yang dikatakan akan ditubuhkan mereka sebelum ini sekali gus menunjukkan pembangkang masih tidak sepakat dan saling curiga di antara mereka.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berkata penubuhan jawatankuasa itu juga tidak akan memberi sebarang makna kerana ia jauh daripada mampu memberikan kestabilan politik di negara ini pada masa depan.

“Jika Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang jaga Jabatan Perdana Menteri, siapa pula agaknya yang mahu jadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri?

“Mereka ini bukan Pakatan Rakyat, tetapi ‘Pakatan Rapuh’ yang tidak berwibawa atau dapat menjamin kestabilan politik negara,” katanya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, ketika dihubungi, semalam.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata tindakan pembangkang itu tidak akan menghalang kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk meneruskan kerja dan berkhidmat kepada rakyat.

“Begitupun tiada sesiapa boleh menghalang pakatan pembangkang daripada terus memasang angan-angan untuk menubuhkan apa juga ‘pentadbiran bayangan’ mereka,” katanya yang juga Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Kamilia Ibrahim, penubuhan jawatankuasa itu hanya sekadar ‘drama’ untuk cuba menunjukkan kononnya Pakatan Rakyat bersatu sedangkan hakikatnya mereka kini berhadapan pelbagai masalah.

Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, jawatankuasa itu juga mencerminkan angan-angan pembangkang untuk memerintah negara ini.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman, mendakwa tindakan PR itu adalah sebahagian daripada perang psikologi mereka terhadap kerajaan BN.

No comments: