Saturday, July 04, 2009

Hasrat Pemuda Pas, UMNO berwacana dipuji

Hasrat Pemuda Pas, UMNO berwacana dipuji

KUALA LUMPUR 3 Julai - Kesediaan Dewan Pemuda Pas dan Pergerakan Pemuda UMNO untuk berwacana disambut baik beberapa ahli Parlimen beragama Islam yang menyifatkan ia sebagai suatu usaha baik untuk kepentingan bersama.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, memang sudah sepatutnya sayap Pemuda kedua-dua parti itu menceburi budaya politik baru seperti mana wacana yang dicadangkan.

Kata beliau, pemimpin pelapis wajar menggunakan pendekatan berbincang dan berdialog kerana mereka perlu dibentuk untuk tidak taksub kepada parti, sebaliknya kepada matlamat membina negara.

''Jadi, apa salahnya membentuk budaya politik baru, biar mereka duduk semeja berbincang kerana yang lebih penting apabila ini berlaku, maka akan ada kemesraan nanti.

''Kemesraan itulah sebenarnya akan memudahkan berlakunya kerjasama apabila sampai ke satu peringkat yang memerlukan. Jadi, baik untuk kita memulakan di peringkat awal.

''Ini bukan soal nak tunjuk ego siapa lebih hebat, jadi saya menyokong penuh keterbukaan Dewan Pemuda Pas dan kesediaan Pemuda UMNO untuk berwacana,'' katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zulkifli Nordin (gambar) berkata, wacana itu merupakan langkah yang baik untuk kedua-dua parti utama umat Melayu Islam itu melihat kepada perkara yang menjadi kepentingan bersama.

Apatah lagi, katanya, dalam suasana sekarang semua pihak boleh saksikan bagaimana hak umat Islam dan Melayu semakin tercabar dan terhakis.

''Contoh terbaik yang menyentuh tentang hak seseorang yang mahu menganut agama Islam. Terdapat cadangan pindaan kepada beberapa undang-undang berkaitan yang dilihat menghakis hak golongan ini.

''Sedangkan sudah terdapat perundangan syariah yang sebenarnya hanya perlu diberi penerangan kepada bukan Islam bahawa sistem sedia ada pasti memberi keadilan kepada semua,'' jelasnya.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berkata, wacana yang dicadangkan itu tidak bertentangan dengan pendirian pakatan pembangkang sebelum ini.

Menurut Naib Presiden Pas itu, selagi mana ia tidak melibatkan perbincangan berhubung kerajaan perpaduan, maka pakatan pembangkang tidak pernah menghalang.

''Kalau berhubung kerajaan perpaduan, atas nama rundingan intelektual ke, apa pun, ia tidak boleh dibangkitkan. Titik noktah. Jadi ia jelas.

''Tapi atas perkara yang melibatkan kepentingan nasional seperti soal ekonomi, pendidikan dan sosial, pemimpin pakatan tiada masalah,'' ujarnya.

No comments: