Saturday, July 04, 2009

Penduduk tetap mahu berjumpa Guan Eng

Penduduk tetap mahu berjumpa Guan Eng

GEORGETOWN: Penduduk Kampung Buah Pala, Gelugor di sini, tetap mahu berjumpa dengan Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi menyelesaikan masalah perkampungan mereka yang bakal dimajukan dengan rumah kos tinggi dan sederhana.

Setiausaha Pertubuhan Penduduk Kampung Buah Pala, J Stephen, berkata pihaknya kurang berminat berbincang dengan dua Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman dan Prof Dr P Ramasamy kerana mereka tidak boleh menyelesaikan masalah.

"Kami mahu berbincang terus dengan Ketua Menteri kerana yakin semuanya dapat diselesaikan dalam satu mesyuarat saja. Perbincangan ketika ini tidak akan membawa ke mana-mana pun.

"Kami merayu kepada beliau supaya dapat meluangkan masa dan tidak memberi alasan yang tidak masuk akal termasuk yang terbaru (tidak mahu menjejaskan imej Mansor dan Ramasamy)," katanya.

Beliau ditemui di kampungnya bagi mengulas kenyataan Guan Eng bahawa tindakannya enggan berjumpa penduduk disebabkan tidak mahu ada persepsi buruk dilemparkan terhadap keupayaan Mansor dan Ramasamy yang sudah dipertanggungjawabkan menangani masalah itu.

Selasa lalu, penduduk Kampung Buah Pala pulang hampa dan marah selepas Guan Eng enggan menemui mereka bagi membincangkan nasib mereka berikutan keputusan mahkamah berpihak kepada pemaju.

Ditanya mengenai kesediaan kerajaan negeri untuk menghentikan projek di Kampung Buah Pala jika pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd tidak membayar pampasan, Stephen menegaskan penduduk tidak mahukan pampasan.

"Kami tetap tidak berganjak dengan pendirian mahu terus tinggal di sini," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati keadaan di kampung berkenaan tenang dengan penduduk melakukan tugasan harian masing-masing selepas kekecohan ketika proses menampal notis mahkamah, kelmarin.

No comments: