Saturday, July 04, 2009

Ketua Menteri didesak jumpa penduduk Kg. Buah Pala

Ketua Menteri didesak jumpa penduduk Kg. Buah Pala

PULAU PINANG 3 Julai - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berjumpa dengan penduduk Kampung Buah Pala bagi menyelesaikan isu yang membelenggu kampung itu.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata, Guan Eng perlu mencari jalan penyelesaian terbaik sekali gus memberikan tumpuan berhubung isu berkenaan.

Menurutnya, sebagai Ketua Menteri, beliau sendiri seharusnya bersua muka dengan penduduk di situ dan bukan menyerahkan tanggungjawab itu kepada timbalannya atau pun anggota Exco Kerajaan Negeri.

''Kita sebenarnya tidak mahu melihat penduduk kampung itu dianiaya, jadi Guan Eng perlu beri tumpuan pada perkara ini kerana ia bukan isu kaum India, ini isu rakyat dan sebagai rakyat mereka ada hak,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PKR di Bayan Baru di sini malam tadi.

Katanya, Guan Eng juga perlu mencari keputusan terbaik dan mengambil kira semua fakta tepat serta menjalankan kajian secara terperinci sebelum sebarang keputusan dibuat dan rakyat tidak teraniaya.

''Turun dan jumpa penduduk kampung. Ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri yang sering melaungkan cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), keadilan serta perlu ada sifat belas kasihan seperti Khalifah Umar Abdul Aziz," ujarnya.

Menurutnya, jika terdapat penyelewengan mahu pun transaksi tidak betul dalam isu itu, maka Ketua Menteri perlu mendedahkannya dan jangan mendengar khabar angin manakala isu mahkamah pula adalah perkara berasingan.

Dalam pada itu, Zahrain memberitahu, pihaknya juga telah bertemu dengan penduduk kampung tersebut untuk mengetahui dan mendengar sendiri masalah mereka malah sebuah jawatankuasa mengkaji kes itu juga telah ditubuhkan.

Katanya, Ketua Angkatan Muda Keadilan negeri, Yusmadi Yusoff juga telah dilantik bagi menyiasat dan memberikan tumpuan terhadap perkara tersebut.

No comments: