Saturday, July 04, 2009

Adun Kota Darulaman jadi wakil rakyat berkecuali

Adun Kota Darulaman jadi wakil rakyat berkecuali

Oleh Azmi Md Deros
azmimd@bharian.com.my


PUSAT pemotongan babi (anak panah) di Kampung Berjaya telah dirobohkan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) baru-baru ini atas faktor kebersihan dan lokasi kawasan yang tidak sesuai.

Pengerusi DAP perjelas Lee hanya sokong pihak yang benar

ALOR SETAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Darulaman, Lee Guan Aik dari DAP akan bertindak sebagai wakil rakyat berkecuali berikutan keputusan parti itu di negeri ini menarik diri daripada Pakatan Rakyat.

Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su, berkata sebagai wakil rakyat berkecuali Lee tidak akan menyokong mana-mana pihak sama ada kerajaan Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional (BN).

Beliau menjelaskan Lee tidak boleh menjadi wakil rakyat Bebas kerana beliau bukan keluar daripada DAP, sebaliknya hanya tidak lagi menyertai Pakatan Rakyat.

"Berikutan keputusan DAP keluar daripada Pakatan Rakyat Kedah, beliau akan bertindak sebagai pembangkang kepada kerajaan atau bersikap kecuali terhadap sebarang keputusan.

"Pada masa sama, beliau juga tidak menyokong Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Berita Harian ketika dihubungi di sini, semalam.



Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan mengenai status Lee selepas DAP Kedah dalam mesyuaratnya, Rabu lalu dan memutuskan parti itu menarik diri daripada Pakatan Rakyat negeri.

Kekeliruan timbul berikutan Lee mengisytiharkan dirinya sebagai Adun Bebas dan berkecuali serta tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.

Lee dilaporkan berkata, sebagai Adun Bebas dan berkecuali, beliau juga tidak akan menyokong BN, tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar saja.

Tindakan mengejutkan itu dibuat berikutan rasa tidak puas hati DAP terhadap cara kerajaan Pas menangani isu rakyat, khususnya bukan Melayu di negeri ini.

Kemuncak rasa tidak puas hati itu meletus apabila DAP menuduh kerajaan negeri tidak mengambil langkah sewajarnya untuk menghalang Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) daripada merobohkan rumah pemotongan babi haram di Kampung Berjaya di sini, Rabu lalu, yang beroperasi sejak lebih 30 tahun.

Su juga mengesahkan setakat ini tiada wakil Pakatan Rakyat, terutama Pas Kedah memujuk mereka.

"Kita kekal dengan keputusan menarik diri daripada Pakatan Rakyat dan sudah menghantar surat kepada Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP.

Kedah mempunyai 36 kerusi DUN yang mana 16 adalah milik Pas, 14 Barisan Nasional (BN), lima Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu DAP.

No comments: