Saturday, July 04, 2009

Parti Keadilan Rakyat kecewa Ketua Menteri tak muafakat

Parti Keadilan Rakyat kecewa Ketua Menteri tak muafakat

GEORGETOWN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kecewa dengan sikap tidak bermuafakat Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkaitan isu Ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP), Johari Kassim, sehingga membawa kepada pemecatannya, minggu lalu.

Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Zahrain Mohamed Hashim, berkata tindakan kerajaan negeri juga bertentangan dengan keputusan PKR pusat yang memutuskan Johari tidak perlu dipecat kerana beliau sudah menyesali tindakannya memboikot majlis pelantikan Yang Dipertua MPSP, Mokhtar Mohd Jait, bulan lalu.

Malah, katanya, Johari juga sedia berjumpa Ketua Menteri berhubung perkara itu, tetapi malangnya Guan Eng enggan bertemu dengan pemimpin PKR berkenaan.

"Saya rasa ini satu sikap yang tidak bermuafakat. Malah, kalau kita mahu bersikap seperti Khalifah Umar Abdul Aziz seperti dilaung-laungkan (oleh Guan Eng), pemimpin Islam yang bersifat penuh belas kasihan dan adil, jika ada orang membuat kesilapan, kita harus bertolak ansur dan mahu mendengar bukannya ambil sikap tidak mahu berjumpa langsung.

"Ini bukan pandangan peribadi saya, ini pandangan ahli PKR sebab keputusan dibuat oleh kepemimpinan parti. Ia bukan keputusan Ketua Umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) atau Presiden (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail), tetapi keputusan bersama kepimpinan peringkat pusat dan negeri," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PKR negeri di Bayan Baru di sini, malam kelmarin.

Mesyuarat Exco kerajaan negeri pada 26 Jun lalu memecat Johari sebagai Ahli MPSP kerana mengetuai tindakan memboikot majlis pelantikan Mokhtar kerana tidak berpuas hati kerajaan negeri melantik kakitangan awam menduduki jawatan berkenaan.

Menyentuh isu penduduk Kampung Buah Pala, Gelugor di sini, Zahrain mahu Guan Eng turun padang dan bersemuka dengan penduduk kampung bagi menyelesaikan isu penempatan itu yang semakin kusut.

“PKR mahu masalah penduduk Kampung Buah Pala diselesaikan secara terbaik. Ini bukan isu kaum India dan saya rasa rakyat ada hak. Isu ini boleh diselesaikan jika beliau turun padang dan jumpa penduduk," katanya.

Zahrain berkata, jika ada sebarang penyelewengan dan salah laku dalam urusan berkaitan pemilikan tanah kampung itu, kerajaan negeri perlu mendedahkannya.

"Ini adalah tanggungjawab kerajaan negeri yang perlu bertindak mengikut konsep Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya.

Kira-kira 300 penduduk Kampung Buah Pala perlu mengosongkan penempatan yang berusia lebih 100 tahun ini sebelum 3 Ogos ini bagi memberi laluan kepada projek pembangunan oleh Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

No comments: