Saturday, July 04, 2009

Kelayakan Tuan Aziz mampu pikat pengundi

Kelayakan Tuan Aziz mampu pikat pengundi

KUALA KRAI: Latar belakang pendidikan tinggi adalah aset serta bonus kepada calon Barisan Nasional (BN), Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dalam kempennya meraih keyakinan dan kepercayaan pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata walaupun latar belakang pendidikan seperti memiliki ijazah Doktor Falsafah (PhD) bukan menjadi tiket untuk menang pilihan raya, ia dilihat sebagai bonus untuk berjaya.

Katanya, kelayakan Tuan Aziz, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), mengukuhkan ciri seorang pemimpin selain dibantu pengalamannya bekerja dengan syarikat swasta serta agensi kerajaan seperti pernah memegang jawatan Pengurus di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

“Saya setuju, tidak semestinya ada PhD boleh menang pilihan raya kecil DUN Manek Urai, namun ia menjadi satu aset atau bonus untuk memberi keyakinan dan kepercayaan kepada pengundi. Kalau calon PhD dijamin membawa kejayaan, kita (Umno) sudah tentu letak calon seperti itu,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

"Apa yang penting pada calon kita itu ialah sejarah rekodnya yang sudah berjasa kepada rakyat terutama sepanjang beliau bertugas dengan Kesedar," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya Pas Kelantan, Abdul Fatah Haron, kelmarin, yang menyifatkan pengundi Manek Urai tidak memerlukan seorang wakil rakyat berlatar belakangkan pendidikan tinggi kerana bidang tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terhad untuk kawasan diwakilinya.

Mustapa berkata, Tuan Aziz mempunyai kelayakan yang menepati seorang wakil rakyat dan ciri itu menjadi bonus kepada BN berbanding lawan tetapi pada masa sama tidak memperlekehkan calon Pas yang mungkin mempunyai kelebihan tersendiri.

Ditanya mengenai persiapan jentera pilihan raya, beliau berkata, semangat yang ditunjukkan oleh petugas parti agak luar biasa berbanding sebelum pengumuman nama calon dibuat.

Katanya, sebelum pengumuman calon, beliau berada dalam keadaan cemas memandangkan Kelantan adalah kubu kuat Pas di Malaysia, sedangkan jentera pilihan raya belum mantap.

No comments: