Jawatankuasa khas dakyah pembangkang
KUALA LUMPUR: Langkah Pakatan Rakyat mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Ahli Parlimen bagi membahaskan setiap isu di Dewan Rakyat dengan lebih teratur, mendapat pelbagai reaksi daripada orang ramai.
Kakitangan swasta, Mazlan Abdul Maulud, 42, menganggap penubuhan jawatankuasa itu sebagai mainan politik pembangkang yang hanya bertujuan menjayakan agenda peribadi pemimpinnya tanpa memikirkan kepentingan dan kebajikan rakyat.
“Mereka ini hanya mahu mencari kesalahan pemimpin lain tanpa memikirkan tindakan itu boleh merosakkan negara. Mereka beranggapan seolah-olah mereka adalah pemimpin terbaik sedangkan hakikatnya tidak begitu.
“Bagi saya, apa yang gabungan pembangkang ini hanyalah satu angan-angan mereka kerana tujuan sebenarnya bukan untuk membela rakyat sebaliknya memenuhi agenda peribadi sendiri saja,” katanya di sini, semalam.
Peniaga, Adli Dahlan, 32, berkata, Pakatan Rakyat sepatutnya lebih menumpukan perhatian kepada empat negeri yang dikuasai mereka dan menyelesaikan isu berbangkit di negeri itu terlebih dulu, sebelum menubuhkan kabinet bayangan.
“Selesaikan isu yang timbul pada peringkat negeri dulu dan barulah fikirkan untuk menyelesaikan masalah yang lebih besar pada peringkat nasional. Lagipun, masalah dalaman mereka seperti ‘portfolio’ yang bertindih perlu diselesaikan segera.
“Mereka perlu banyak belajar dan apabila semuanya sudah berada di landasan betul barulah boleh memikirkan untuk mewujudkan jawatankuasa khas atau menubuhkan kabinet bayangan pula,” katanya.
Kakitangan swasta, Norfizan Mohd Nor Hashim, berkata Pakatan Rakyat perlu memberi tumpuan untuk menyelesaikan kemelut politik membabitkan gabungan parti mereka sebelum memikirkan perkara lebih serius termasuk membayangkan penubuhan kabinet bayangan.
“Mereka perlu membuktikan kepada rakyat jika mahu rakyat mempercayai parti mereka. Contohnya, mereka perlu bekerja keras di empat negeri yang mereka menangi pada pilihan raya lalu,” katanya.
Kakitangan kerajaan, Mazlina Salleh, 35, berkata tidak perlu ditubuhkan kabinet bayangan kerana kerajaan sedia ada sudah cukup untuk melaksanakan pembangunan, sebaliknya Pakatan Rakyat perlu memberi tumpuan terlebih dulu kepada rakyat serta menjaga kebajikan mereka.
“Tanggung jawab Pakatan Rakyat masih banyak pada peringkat negeri dan ia perlu diberi tumpuan secukupnya manakala pada peringkat Persekutuan biarlah kerajaan sedia ada melaksanakan tugas mereka,” katanya.
Kakitangan swasta, Shuhainor Abdul Rahman, 44 berkata, pihaknya bersetuju dengan kabinet bayangan yang diwujudkan kerana sekurang-kurangnya ia mampu mengimbangi barisan Kabinet sedia ada diterajui BN.
Pekerja sendiri, Nasrul Idris, 31 berkata, penubuhan jawatankuasa khas oleh pakatan Rakyat itu perlu untuk memastikan sesuatu isu dapat diselesaikan secara lebih berhemah lagipun kuasa pembangkang di Parlimen kini semakin menonjol.
Kakitangan kerajaan, George Edward, 32, berkata banyak lagi janji yang ditaburkan Pakatan Rakyat pada pilihan raya lalu yang belum ditunaikan sehingga kini dan sepatutnya mereka lebih memberi tumpuan kepada isu berkenaan.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment