Saturday, July 04, 2009

'Biar Timbalan Ketua Menteri tangani masalah'

'Biar Timbalan Ketua Menteri tangani masalah'


SUASANA kelihatan aman di Kampung Buah Pala, Gelugor selepas berlaku ketegangan semalam.

GEORGETOWN: Selepas membisu mengenai keengganannya menemui penduduk Kampung Buah Pala, Gelugor di sini, bagi menyelesaikan masalah mereka, Ketua Menteri, Lim Guan Eng semalam membuka mulut untuk memberi alasannya.

Guan Eng menjelaskan keengganannya bertemu penduduk kampung tradisi kaum India berusia lebih 100 tahun itu kerana tidak mahu ada persepsi buruk dilemparkan terhadap Timbalan Ketua Menteri, Mansor Othman dan Prof Dr P Ramasamy yang sudah dipertanggungjawabkan menangani masalah berkenaan.

Sambil menyatakan kesediaannya bertemu penduduk, Ketua Menteri berkata, beliau tidak mahu memberi gambaran kepada orang ramai seolah-olah Mansor dan Ramasamy tidak mampu melakukan tugas dengan baik.

"Kalau saya masuk campur, nanti kedua-dua mereka (Mansor dan Ramasamy) seperti tidak boleh buat apa-apa walaupun sudah melakukan pelbagai usaha sehingga penduduk kampung masih boleh tinggal di sana.

"Jadi biarlah mereka uruskan dan menyampaikan segala perkembangan baru kepada saya. Janganlah ada pihak yang mengambil kesempatan dengan menangguk di air keruh," katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan pameran fotografi sempena ulang tahun pertama bandar raya ini disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Sains dan Kebudayaan (Unesco).

Selasa lalu, penduduk Kampung Buah Pala pulang hampa dan marah selepas Guan Eng enggan bertemu bagi membincangkan nasib mereka berikutan keputusan mahkamah berpihak kepada pemaju.

Berikutan keputusan mahkamah itu, penduduk perlu keluar dari kampung yang dikenali sebagai High Chaparral Pulau Pinang bagi memberi laluan kepada projek pembangunan sebelum 3 Ogos ini.

Kelmarin, notis Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditampal di kampung itu yang mengarahkan penduduk mengosongkan kawasan itu sebelum tarikh berkenaan.

Pada pilihan raya umum, Mac tahun lalu, Pakatan Rakyat (PR) menggunakan isu Kampung Buah Pala sebagai modal kempen dengan menjanjikan penduduk bahawa hak mereka akan dikembalikan jika PR memerintah negeri ini.

Guan Eng juga menyatakan kesediaan kerajaan negeri membatalkan projek di kampung itu jika pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd enggan membayar pampasan kepada penduduk.

“Walaupun keputusan mahkamah sudah menetapkan yang mereka tidak perlu membayar pampasan, tetapi ia perlu sebagai tanggungjawab mereka... jangan cuba cari alasan.

"Saya beri amaran, kalau mereka tidak bayar pampasan jangan harap kerajaan negeri akan meluluskan projek. Kami ada kuasa untuk melakukannya walaupun terpaksa menanggung kerugian (membayar ganti rugi)," katanya.

Guan Eng turut mencadangkan Kerajaan Pusat membeli tanah di Kampung Buah Pala kerana kontroversi sekarang berpunca daripada tindakan kerajaan negeri BN sebelum ini yang menjual tanah itu pada harga RM3.2 juta.

Ditanya mengenai tindakan penduduk yang mahu membuat permohonan kepada Unesco supaya Georgetown dilucutkan tarafnya sebagai Tapak Warisan Dunia, Guan Eng berkata;

"Ia terpulang kepada penduduk tetapi saya rasa Unesco tidak akan layan permohonan mereka kerana kampung itu tidak termasuk dalam kawasan teras Tapak Warisan Dunia," katanya.

No comments: