Saturday, July 04, 2009

Suami fail permohonan Manohara pulang, taat

Suami fail permohonan Manohara pulang, taat


Manohara

KUALA LUMPUR: Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra dijangka memfailkan dua permohonan terhadap isterinya, Manohara Odelia Pinot yang juga bekas model Indonesia di Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu Kelantan esok.

Dua permohonan difailkan di mahkamah oleh peguam Putera Sultan Kelantan pada jam 12 tengah hari.

Permohonan itu untuk mendapatkan perintah mahkamah Manohara kembali taat kepada Tengku Muhammad Fakhry dan menuntut hutang RM972,750 daripada isterinya itu sehingga petang semalam.

Pada 26 Jun lalu, akhbar ini melaporkan Tengku Muhammad Fakhry dalam satu kenyataan memberitahu beliau tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang mengikut hukum syarak jika Manohara gagal kembali ke pangkuannya sebelum 2 Julai kerana dia masih isterinya yang sah.

Beliau mengarahkan Manohara, 17, kembali taat kerana perlu menjalankan tanggungjawab sebagai isteri yang dituntut syarak dan tugas Cik Puan Temenggong Kelantan seperti diperakui undang-undang.

Dalam kenyataan itu Tengku Temenggong menegaskan tempat isteri di sisi suami dan dia perlu mematuhi perintah jika tidak melanggar hukum syarak.

Beliau melantik peguam Zainul Rijal Abu Bakar daripada Tetuan Zainul Rijal Talha & Amir mengendalikan kes itu.

Manohara melarikan diri ke Indonesia ketika mengikut suaminya ke Singapura menziarahi Sultan Kelantan di Hospital Mt Elizabeth pada 1 Jun lalu.

Sekembalinya ke Indonesia, Manohara memberitahu media negara itu dia didera suaminya secara fizikal dan seksual sepanjang berada di negara ini.

No comments: