Saturday, July 04, 2009

Rajasekaran Setiausaha Agung MTUC sah

Rajasekaran Setiausaha Agung MTUC sah

KUALA LUMPUR 3 Julai - Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) hari ini memutuskan jawatan Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang dimenangi oleh G. Rajasekaran pada persidangan perwakilan kongres tersebut pada 18 Disember 2007 adalah sah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md. Yusof memutuskan demikian selepas mendapati pemilihan tersebut mematuhi Peraturan 6(6) Perlembagaan MTUC dan dengan itu, tiada sebab untuk mahkamah campur tangan dalam keputusan pemilihan tersebut.

''Ini merupakan perlembagaan kongres tersebut dan ia tidak boleh diketepikan begitu sahaja. Rasional peraturan tersebut diadakan adalah munasabah dan praktikal.

''Perlembagaan MTUC memperuntukkan bahawa sebarang pertikaian berhubung pemilihan perlu dibuat sewaktu persidangan pemilihan berlangsung dan bukan selepas ia berakhir,'' katanya.

Menurut beliau, sebarang pertikaian terhadap kelayakan perwakilan tidak boleh membatalkan keseluruhan pemilihan jawatan Setiausaha Agung MTUC.

Selain itu, beliau menyatakan, peraturan tersebut boleh dipinda atau diperbaiki tetapi pada ketika ini, Peraturan 6(6) Perlembagaan MTUC membataskan cara bagaimana pertikaian terhadap kelayakan perwakilan boleh dilaksanakan.

Setiap ahli kongres tersebut juga terikat dengan Perlembagaan MTUC ini dan seharusnya menerimanya sebagai satu garis panduan pentadbiran kongres tersebut, katanya.

Pada 24 Februari lalu, Kesatuan Pekerja-Pekerja Kelab Semenanjung Malaysia (CEUPM) dan Abdullah Sani Abdul Hamid selaku plaintif memfailkan saman pemula untuk menuntut perisytiharan bahawa keputusan pemilihan jawatan Setiausaha Agung MTUC bagi penggal 2008 hingga 2010 adalah tidak sah dan terbatal.

Mereka mendakwa pemilihan pada persidangan perwakilan tiga tahun sekali bagi kongres sekerja tersebut pada 18 Disember 2007 telah mengambil kira undian perwakilan yang tidak layak.

Pada pemilihan tersebut, Rajasekaran memenangi jawatan Setiausaha Agung MTUC dengan kelebihan empat undi sahaja apabila memperoleh sebanyak 259 undi berbanding Abdullah Sani yang menerima 255 undian.

Selain daripada deklarasi tersebut, pihak plaintif memohon perintah agar MTUC mengadakan satu Persidangan Perwakilan Khas untuk membuat pemilihan baru jawatan tersebut dalam tempoh 60 hari selepas perintah dikeluarkan.

Turut dipohon adalah perintah agar MTUC mengemukakan senarai nama-nama perwakilan yang digunakan pada persidangan perwakilan tersebut dalam tempoh 30 hari perintah mahkamah dikeluarkan.

No comments: