Saturday, July 04, 2009

Penduduk Kampung Buah Pala akui silap pilih pembangkang

Penduduk Kampung Buah Pala akui silap pilih pembangkang

PULAU PINANG 3 Julai - ''Kami minta maaf kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Kami sedar kami telah membuat kesilapan apabila mengundi pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu.''

Demikian kata seorang penduduk Kampung Buah Pala di sini apabila kemelut pengambilan tanah di kampung berkenaan gagal diselesaikan oleh kerajaan pakatan pembangkang di Pulau Pinang.

''Bantulah kami. Kami berjanji tidak akan sesekali mengundi mereka lagi selepas ini," rayu A. Draviam, 84, yang dilihat agak uzur ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia dan seluruh penduduk kampung berkenaan berasa amat terkilan dan menyesal kerana termakan janji-janji pemimpin pakatan pembangkang sehingga mereka terpaksa menerima 'hukuman' atas kesilapan itu.

Sejak 11 pilihan raya umum lalu katanya, kira-kira 400 pengundi di kampung tersebut sentiasa mengundi Barisan Nasional (BN), namun janji pakatan pembangkang untuk menyerahkan tanah kepada mereka menyebabkan penduduk berpaling tadah.

''Saya merayu Perdana Menteri membantu kami. Kami sedia dihukum atas kesilapan yang dilakukan. Buatlah sesuatu supaya kami semua dapat terus tinggal di sini. Kami bukan baru setahun, dua tinggal di sini tetapi sudah berpuluh tahun. Ada penduduk yang sudah ada cicit.

''Sekali sudah buat kesilapan, kami tidak akan ulangi lagi. Kami ingin tinggal dan mati di sini. Walau apa pun yang dibuat, kami tidak akan berpindah," katanya berulang kali.

Tinjauan Utusan Malaysia di kampung berkenaan mendapati suasananya lebih tenang pada petang ini berbanding semalam yang kelihatan agak tegang.

Semalam, proses menghantar notis mengosongkan rumah sebelum 3 Ogos kepada penduduk di Kampung Buah Pala itu kecoh apabila penduduk enggan memberi kerjasama.

Malah, tiga wakil Mahkamah Tinggi bersama pemilik tanah kampung berkenaan, wakil Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pemaju projek di situ, NusMetro Ventures (P) Sdn. Bhd. yang diiringi polis turut dihalang oleh penduduk.

Tiada perhimpunan diadakan hari ini, cuma beberapa penduduk dilihat bergilir-gilir menghuni khemah yang didirikan di kawasan lapang untuk membuat pemantauan 24 jam situasi kampung tersebut.

Seorang lagi penduduk, M. Muniandy, 73, berkata, jika Ketua Menteri, Lim Guan Eng tetap enggan berjumpa penduduk untuk mencari jalan penyelesaian, mereka sepakat untuk mencarinya di kediaman rasmi beliau, Seri Teratai.

Katanya, tidak guna Ketua Menteri terus memberi alasan dan menyalahkan pihak lain sedangkan hanya dia yang mempunyai kuasa untuk menyelesaikan masalah berkenaan.

''Kita sudah muak mendengar dia menyalahkan kerajaan sebelum ini atas apa yang berlaku. Cerita dulu, biarkan, kita tidak mahu dengar lagi. Kita mahu dia bertanggungjawab kerana dia Ketua Menteri ketika ini.

''Dia ada kuasa untuk mengelakkan ini semua berlaku. Pulau Pinang banyak tanah lagi. Bagi sahaja tanah lain kepada pemaju itu dan biarkan kami di sini hidup aman," katanya.

D. Stevent, pula berkata, mereka tidak pernah memanggil mana-mana pemimpin pembangkang untuk datang ke kawasan kampung berkenaan ketika kempen pilihan raya umum lalu.

Katanya, tanpa diundang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh, R.S. N Rayer, Abdul Malik Kassim datang ke kampung tersebut merayu penduduk mengundi mereka

''Kami tidak pernah mencari mereka. Mereka yang cari kami tetapi bila sudah berlaku macam ini, seorang pun tidak nampak muka. Apa sudah jadi dengan janji-janji mereka. Jangan ingat kami lupa," katanya.

No comments: