'Kuil, tokong juga akan diroboh'
IPOH 3 Julai - DAP Kedah hari ini mendedahkan kerajaan negeri pimpinan Pas bukan sahaja merobohkan pusat penyembelihan babi di negeri itu tetapi juga merancang untuk merobohkan kuil-kuil Hindu dan tokong-tokong Cina.
Pengerusi DAP Kedah/Perlis, Thomas Su mendakwa, kerja-kerja merobohkan kuil dan tokong itu telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
''Kita juga ada maklumat di mana MBAS sudah meluluskan untuk roboh kuil Hindu dan kuil (tokong) Cina di Alor Setar, ini akan dilakukan," dakwanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Sehubungan itu, kata Thomas, semua Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan dan ketua kampung DAP Kedah akan meletak jawatan serta merta.
Bagaimanapun, tegasnya, sama ada DAP terus kekal dalam pakatan pembangkang di negeri itu atau sebaliknya masih bergantung kepada keputusan jawatankuasa Pusat.
Mengulas lanjut, Thomas berkata, kerajaan negeri Kedah pimpinan Datuk Seri Azizan Abdul Razak tidak menghormati perjanjian yang dilakukan dalam pakatan pembangkang.
''Tindakan ini bertentangan dengan kehendak pakatan pembangkang dan tidak menggambarkan suasana Malaysia untuk semua (kaum)," katanya sambil turut menyifatkan Azizan sebagai seorang pembohong.
Menurut beliau, pusat penyembelihan babi tersebut tidak seharusnya dirobohkan kerana ia hanya membabitkan soal pemakanan.
Sambil mendesak isu itu diselesaikan segera, jelas Thomas, adalah tidak masuk akal sekiranya membawa ternakan babi ke Pulau Pinang semata-mata untuk disembelih.
Semalam, akhbar melaporkan DAP Kedah keluar daripada pakatan pembangkang kerana tidak puas hati dengan pentadbiran Pas di negeri itu merobohkan pusat penyembelihan babi yang terletak di Kampung Berjaya, Alor Setar.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment