Nik Aziz anggap wacana Pemuda Pas-UMNO satu dakwah
KOTA BHARU 3 Julai - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak ada masalah dengan wacana yang dirancang antara Dewan Pemuda Pas dengan Pergerakan Pemuda UMNO.
Katanya, walaupun pendekatan Dewan Pemuda itu berbeza dengan pendekatannya, ia menjurus ke arah yang sama.
"Bawalah macam-macam cara asalkan boleh mencari titik persefahaman. Saya dengan cara saya dan Pemuda dengan cara dia.
''Tujuannya satu. Jangan biarkan kita duduk sebelah sini dan satu duduk sebelah sana, sampai bila-bila tidak akan bersatu," katanya.
Beliau menyifatkan jemputan Dewan Pemuda Pas kepada Pemuda UMNO untuk mengadakan perbincangan secara ilmiah sebagai satu kerja dakwah yang baru dimulakan.
"Kira dakwahlah, dakwah peringkat awal itu maknanya ajak, bila sudah ajak sama ada dia datang atau dia pergi ke arah lain," katanya kepada pemberita selepas kuliah pagi Jumaat di sini hari ini.
Semalam Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu tidak menghalang perbincangan ilmiah diadakan dengan mana-mana pihak.
Rabu lalu, Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hasan menyerahkan surat jemputan wacana ilmiah terbuka kepada Pemuda UMNO bertajuk Benarkah Perjuangan UMNO Tidak Bertentangan dengan Islam.
Surat tersebut diterima oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim di lobi Parlimen yang disahut secara positif oleh pergerakan itu.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment