Saturday, July 04, 2009

Ahli MPPP dari PKR didakwa seleweng kuasa

Ahli MPPP dari PKR didakwa seleweng kuasa
Oleh Syed Ismail Syed Abu Bakar
bhnews@bharian.com.my

Ooi dedah tindakan melobi bagi pihak pemaju kondo

GEORGETOWN: Seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa menyalahgunakan kuasa dengan melobi bagi pihak pemaju supaya pihak berkuasa tempatan itu menarik balik perintah berhenti kerja yang dikenakan terhadap syarikat itu.

Perkara itu didedahkan Ahli Parlimen Jelutong, Ooi Chuan Aun yang turut mendakwa Ahli Majlis terbabit mendesak pegawai Unit Pusat Sehenti (OSC) MPPP supaya membentangkan semula arahan berhenti kerja dikeluarkan 26 Jun lalu bagi membolehkan pemaju meneruskan kerja pembinaan.

“Perbuatan Ahli Majlis itu adalah satu kesalahan besar, sekali gus menyalahi etika kerajaan negeri yang mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT).

“Ahli Majlis itu yang saya belum mahu mendedahkan namanya bertindak seperti `koboi' untuk melobi dan mendesak bagi pihak pemaju," katanya pada sidang media di Pusat Penjaja Lebuh Bakau, Sungai Pinang di sini, semalam.

Perintah berhenti kerja itu dikeluarkan MPPP pada 26 Jun lalu terhadap pemaju projek kondominium mewah di Batu Lanchang di sini, kerana dikatakan melanggar syarat kerja pembinaan.

Ooi menjelaskan beliau menerima aduan daripada penduduk mengenai tindakan pemaju projek pembinaan empat blok kondominium mewah yang masih menjalankan kerja selepas jam 6 petang tanpa kebenaran.

Beliau mendakwa pemantauan sejak 25 Februari hingga 15 Jun lalu mendapati pemaju itu membuang sisa konkrit ke dalam longkang berhampiran, melakukan pembakaran terbuka dan membuat bising sehingga lewat malam.

Berikutan itu, beliau meminta dua Ahli MPPP, Ong Ah Teong dan Harvinder Singh membantu menyelesaikan masalah berkenaan, termasuk berjumpa dengan pemaju, namun pemaju masih berdegil dan menjalankan kerja seperti biasa.

Selepas tujuh kali berjumpa dengan pemaju dan tiada sebarang tindakan diambil, Ooi mendakwa syarikat itu mencabuli kuasa ‘harmoni sosial’ yang disyaratkan ke atas semua projek pembangunan di negeri ini.

"Berikutan itu, saya membuat aduan berhubung perkara itu kepada MPPP dan satu mesyuarat diadakan oleh MPPP serta arahan berhenti kerja dikeluarkan pada 26 Jun lalu," katanya.

Ooi mendakwa ahli majlis terbabit adalah dalang besar dengan berjumpa pegawai MPPP pada 26 dan 29 Jun lalu bagi mendesak supaya menarik balik arahan itu.

"Tindakan Ahli Majlis itu seolah-olah cuba menggadaikan kepentingan dan kesejahteraan pengundi di kawasan Jelutong, sekali gus menggugat keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat (PR).

"Perkara ini sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri supaya siasatan dalaman dijalankan terhadap Ahli Majlis itu," katanya.





Jeff Ooi dakwa ahli majlis MPPP daripada PKR salah guna kuasa

PULAU PINANG 3 Julai - Seorang Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) didakwa menyalah guna kuasa apabila cuba membantu sebuah syarikat pemaju meneruskan kerja-kerja pembinaan yang telah dihentikan sejak 26 Jun lalu.

Ahli Parlimen Jelutong yang juga Ketua Staf di Pejabat Ketua Menteri, Jeff Ooi mendakwa Ahli Majlis berkenaan telah mendesak pegawai MPPP membentangkan semula arahan tersebut supaya ia dapat ditarik balik.

Pemaju pemaju projek Central Park Batu Lanchang, Jelutong yang dikendalikan Tetuan Insa Properties Sdn. Bhd. sebelum itu diperintah memberhentikan kerja pembinaan kerana melanggar syarat.

Jeff mendakwa, Ahli Majlis sepatutnya membawa usul berkenaan secara formal dalam mesyuarat rasmi yang diiktiraf oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya dengan melobi pegawai MPPP.

''Bagi saya apa yang dilakukannya tidak mematuhi etika prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT). Berjumpa saya pun tidak, sedangkan ia berlaku di kawasan saya. Dia tidak patut berbuat demikian dengan membuat tekanan atau desakan politik seperti itu.

''Tindakannya itu hanya seperti 'koboi' dengan melobi serta mendesak bagi menyebelahi kepentingan pihak pemaju yang angkuh seperti itu,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun ditanya tentang Ahli Majlis berkenaan, Jeff berkata: "Belum tiba masanya untuk saya mendedahkan siapakah dia. Saya tidak mahu ada unsur luar mengganggu siasatan kes ini.''

Sementara itu, Jeff menjelaskan, perintah berhenti kerja dikeluarkan oleh MPPP pada 26 Jun lalu selepas pemaju dengan sengaja melanggar syarat-syarat ditetapkan oleh PBT semasa menjalankan pembinaan.

Sebagai ahli Parlimen kawasan berkenaan, katanya, beliau banyak menerima aduan penduduk di sekitar tapak projek pembinaan empat blok kondominium mewah itu bahawa pemaju menjalankan kerja melepasi had masa ditetapkan iaitu melebihi pukul 6 petang tanpa kebenaran MPPP.

''Setelah banyak sangat aduan dibuat, saya dan dua Ahli Majlis MPPP iaitu Harvindar Singh dan Ong Ah Teong telah membuat pemantauan sebanyak lapan kali ke kawasan berkenaan.

''Kami dapati pemaju dengan sengaja membuang saki baki konkrit ke dalam parit berhampiran, melakukan pembakaran terbuka dan kerja pembinaan yang bising berlanjutan sehingga lewat malam.

''Kami kemudian memaklumkan perkara itu kepada pihak pemaju bagaimanapun mereka menjalankan kerja-kerja sehingga lewat malam. Mereka turut mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki Harvindar dan Ah Teong apabila dinasihati tidak berbuat demikian," katanya.

Menurut Jeff, satu mesyuarat mengenai perkara itu telah diadakan oleh MPPP serta arahan perintah berhenti kerja dikeluarkan terhadap pemaju tersebut.

''Paling saya marah dan kecewa selepas perintah itu dikeluarkan Ahli Majlis berkenaan yang merupakan dalang besar telah berjumpa dengan pegawai MPPP pada 26 dan 29 Jun lalu bagi mendesak supaya arahan tersebut ditarik balik,'' katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah mengemukakan surat kepada kerajaan negeri supaya satu siasatan dalaman dijalankan ke atas Ahli Majlis tersebut bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

No comments: