Oleh Zainudin Isa dan Wan Hazmir Bakar
bhnews@bharian.com.my
ABDUL AZIZ ketika pakej bual bicara secara langsung dalam laman web BH Online, www.bharian.com.my, semalam. |
Langkah redakan ketegangan penyokong
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneliti memanjangkan tempoh penamaan calon daripada sejam ketika ini kepada dua hingga tiga hari bagi mengurangkan ketegangan di pusat penamaan calon berikutan kehadiran ramai penyokong.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata tempoh sesuai diteliti, sejajar kehadiran terlalu ramai penyokong calon parti yang bertanding, termasuk pada pilihan raya kecil sehingga mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
“Kita dapati tempoh proses penamaan calon selama sejam, biasanya sehingga jam 10 pagi seperti sekarang menyebabkan ramai penyokong parti bertumpu di pusat penamaan calon.
“Keadaan ini boleh mengancam keselamatan dan ketenteraman awam jika kumpulan penyokong parti berbalah satu sama lain,” katanya dalam temu bual eksklusif Berita Harian Online (BH Online) di pejabatnya di sini, semalam.
Sebelum itu, Abdul Aziz meluangkan masa sejam menerusi pakej bual bicara secara langsung - Cover-it-Live dalam laman web BH Online, www.bharian.com.my.
Abdul Aziz berkata, tempoh penamaan calon lebih panjang memudahkan SPR menentukan parti atau calon datang pada waktu sesuai bagi mengelak penyokong mereka bertembung.
Katanya, kehadiran terlalu ramai penyokong pada penamaan calon yang singkat seperti sekarang menyebabkan keadaan tidak terkawal apabila timbul provokasi satu sama lain.
Ditanya sama ada langkah itu menyebabkan lebih ramai calon bertanding, katanya, jumlah calon tidak menimbulkan masalah kepada SPR.
“Pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, 15 calon bertanding dan SPR dapat menyelesaikan pendaftaran mereka kira-kira 25 minit saja,” katanya.
Beliau juga menolak tanggapan langkah itu boleh menyebabkan terlalu ramai calon tidak bermutu dan menyukarkan pemilihan wakil rakyat sesuai.
“SPR tiada kuasa menghalang sesiapa yang ingin jadi calon dengan syarat calon berkenaan tidak terbabit dalam kesalahan jenayah, tidak siuman atau muflis,” katanya.
Selain itu, katanya, SPR juga sedang mengkaji kaedah terbaik penggunaan sistem komputer atau biometrik menggunakan cap jari bagi memastikan kesahihan pengundi yang membuang undi serta kesahihan MyKad.
Mengenai persiapan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Abdul Aziz berkata, pelantikan dan latihan untuk pegawai dan petugas terbabit sudah dilakukan, selain persiapan logistik di pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.
No comments:
Post a Comment