Saturday, July 04, 2009

Ditangguh buat kali ketiga

Ditangguh buat kali ketiga

Oleh AMIRUDDIN HARUN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 3 Julai - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim agar dibekalkan dengan dokumen berkaitan tuduhan kes liwat yang dihadapinya terpaksa ditangguhkan sekali lagi apabila peguamnya Sulaiman Abdullah mengadu tidak sihat.

Beliau yang mengetuai barisan pembelaan meminta penangguhan daripada Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan rawatan perubatan kerana mungkin kepenatan selepas mengendalikan kes rayuan Anwar di Mahkamah Rayuan sejak Isnin lalu.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan tersebut dan menetapkan 8 Julai untuk mahkamah mendengar permohonan tersebut.

Pada tarikh itu, selain mendengar permohonan mendapatkan dokumen berkaitan, Hakim Mohamad Zabidin juga dijadual mendengar permohonan Anwar untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya.

Ini merupakan kali ketiga permohonan tersebut ditunda.

Permohonan itu sepatutnya didengar pada 22 Jun lalu tetapi dipinda ke 1 Julai lepas sebelum ditukar ke hari ini setelah Mahkamah Rayuan yang ketika itu mendengar rayuan Anwar membenarkan penangguhan prosiding di Mahkamah Tinggi atas permintaan pihak pembelaan.

Tarikh yang sama turut ditetapkan untuk perbicaraan kes tersebut dimulakan.

Seorang lagi peguam bela Anwar, Sankaran Nair memberitahu pemberita selepas prosiding tersebut, Sulaiman berhasrat membuat pemeriksaan doktor di Pusat Perubatan Pantai kerana pening dan penat sejak semalam.

Dua jam kemudian, Sankaran memaklumkan bahawa Sulaiman diberi cuti sakit sehingga 7 Julai ini.

Pada 10 Jun lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu memfailkan permohonan agar pendakwa raya membekalkan semua dokumen dan barangan berkaitan kes liwat tersebut sebelum perbicaraan penuh bermula.

Antara yang dipohon untuk dibekalkan ialah kandungan penuh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Kondominium Desa Damansara, sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan kenyataan saksi-saksi termasuk pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Anwar, 62, dituduh meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 24, di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Semalam, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 Mac lalu yang membenarkan permohonan pendakwa raya untuk memindahkan kes liwat itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

No comments: