Saturday, July 04, 2009

Kabinet 'syok sendiri' - Tajuddin

Kabinet 'syok sendiri' - Tajuddin

IPOH 3 Julai - Tindakan pembangkang mengeluarkan senarai jawatankuasa Ahli Parlimen mereka mengikut kementerian disifatkan sebagai gila kuasa.

''Semua gila kuasa, sebab itu letak tiga orang di setiap kementerian kerana masing-masing hendak jadi menteri.

''Kalau lantik seorang sahaja, yang lain terasa hati pula, jadi terpaksa letak tiga orang," kata Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman (gambar) kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan pakatan pembangkang semalam mengeluarkan senarai jawatankuasa Ahli Parlimen mereka mengikut kementerian.

Tajuddin berkata, penubuhan jawatankuasa itu cuma satu lawak kerana pembangkang sebenarnya boleh menyumbang kepada pembentukan dasar kerajaan menerusi wakil mereka di Dewan Rakyat.

Katanya, ahli politik pembangkang juga tidak pernah disekat di Dewan Rakyat sehingga ada yang berucap sehingga tiga jam tetapi tidak digunakan untuk mengemukakan idea-idea baru dan bernas.

''Tidak payah hendak bentuk jawatankuasa Ahli Parlimen atau 'kabinet bayangan,' dalam Parlimen lebih setahun apa buah fikiran yang mereka ada?

''Mereka cuma 'melalak' dalam Dewan dan salahkan semua yang Barisan Nasional (BN) buat tetapi tidak memberikan apa-apa cadangan alternatif. Idea-idea yang dikemukakan semuanya hambar dan kebanyakannya ucapan politik sahaja," katanya.

Tajuddin berkata, DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas tidak mungkin dapat mewujudkan 'kabinet bayangan' kerana ketiga-tiga parti itu mempunyai matlamat perjuangan berbeza.

Katanya, disebabkan perbezaan itu, pembangkang tidak dapat membentuk satu polisi yang boleh diterima semua hingga sering bertelingkah sesama sendiri seperti berlaku di Kedah dan Pulau Pinang.

''Sebagai contoh, dasar-dasar mempertahankan hak-hak istimewa orang Melayu sudah termaktub dalam Perlembagaan. Siapa hendak bawa dasar ini dan siapa pula hendak setuju?

''DAP tidak setuju, PKR pun tidak setuju, Pas pula kadang-kadang setuju dan kadang-kadang tidak setuju bila bercakap sesama mereka," katanya.

No comments: