Saturday, July 04, 2009

Pemuda UMNO buat laporan polis isu kebakaran

Pemuda Umno lapor dakwaan sabotaj

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno Lembah Pantai semalam membuat laporan polis terhadap Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Lembah Pantai, Amin Mian berhubung dakwaannya kebakaran empat rumah di Bukit B, Kampung Kerinchi adalah perbuatan sabotaj, Isnin lalu.

Naib Ketuanya, Zailani Abu Bakar, berkata dakwaan yang turut disiarkan dalam laman web Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan sebuah akhbar tempatan berniat mengaburi usaha kerajaan dalam membantu mangsa.

“Amin membuat satu kenyataan fitnah dan mengacau minda rakyat dengan mendakwa rumah mangsa sengaja dibakar.

“Jika dibaca, artikel berkenaan boleh menimbulkan ketidakpuasan rakyat kepada kerajaan, Umno dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Ia sengaja memburukkan dengan mendakwa rumah diberi kepada mangsa tiada kemudahan asas,” katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini, semalam.

Isnin lalu, empat keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran yang dipercayai mula merebak dari sebuah rumah kosong.







Pemuda UMNO buat laporan polis isu kebakaran

KUALA LUMPUR 3 Julai - Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) hari ini membuat laporan polis terhadap Naib Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lembah Pantai kerana mengeluarkan laporan berbaur hasutan dalam sebuah akhbar berbahasa Melayu.

Akhbar itu hari ini melaporkan, Naib Ketua PKR Lembah Pantai, Amin Mian mendakwa, kebakaran beberapa rumah di penempatan setinggan Kampung Kerinchi baru-baru ini adalah disengajakan.

Laporan polis itu dibuat oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai, Zailani Abu Bakar dan Timbalan Yang Dipertua GPMS cawangan Lembah Pantai, Mohd. Nazri Abdul Rahman di Balai Polis Brickfields kira-kira pukul 3.30 petang.

Menurut Zailani, kenyataan yang dibuat oleh PKR itu seolah-olah mengaitkan Kerajaan Pusat dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak sedemikian ekoran keengganan penduduk berkenaan berpindah dari kawasan itu.

Beliau ketika ditemui berkata, laporan itu menyebut kebakaran itu hanya melibatkan rumah penghuni yang enggan berpindah.

"Kenyataan itu adalah palsu dan ia dilakukan semata-mata untuk mengelirukan masyarakat.

"Dakwaan itu juga boleh menimbulkan keadaan tidak tenteram selain cuba menghakis kepercayaan rakyat terhadap Kerajaan Pusat," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau meminta polis mengambil tindakan undang-undang ke atas Naib Ketua PKR yang membuat dakwaan tidak berasas itu.

No comments: