Saturday, July 04, 2009

Pembangkang tidak kuat untuk bersatu

Pembangkang tidak kuat untuk bersatu

KUALA LUMPUR 3 Julai - Pakatan pembangkang tidak cukup kuat untuk menubuhkan satu parti di bawah satu lambang untuk memerintah negara ini kerana masing-masing berpegang kepada ideologi berbeza.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee percaya perbezaan ideologi itu merupakan punca DAP Kedah keluar dari pakatan pembangkang di negeri itu.

''Pakatan pembangkang hanya ditubuhkan semata-mata untuk memerintah sesebuah negeri, bukannya mereka betul-betul bersatu untuk memerintah negara.

''Jika benar ingin memperjuangkan hak rakyat, sahut cabaran ini bagi membolehkan rakyat menilai ketelusan perjuangan mereka,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cabaran Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz supaya pakatan pembangkang menubuhkan satu parti di bawah satu lambang untuk bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.

Menurut Syed Ali, sekali pun pakatan pembangkang berjaya berbuat demikian, beliau yakin kekuatan yang ada pada UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan tergugat, sebaliknya terus kukuh dengan sokongan rakyat.

Katanya, kerenah politik pakatan pembangkang sejak akhir-akhir ini amat menyedihkan rakyat kerana tidak cenderung untuk mencari jalan ke arah perpaduan dan penyatuan rakyat.

Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali menyelar Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menafikan DAP Kedah keluar dari pakatan pembangkang dan menuduh media menggembar- gemburkan isu tersebut.

''Kita boleh lihat isu ini sebagai kepincangan dalam pakatan pembangkang selain isu kerajaan perpaduan oleh PAS sebelum ini.

''DAP Kedah sudah terang-terangan menyatakan keputusan mereka untuk keluar pakatan pembangkang di negeri itu tapi ada pihak lain yang campur tangan dengan menafikan keputusan tersebut,'' ujarnya.

No comments: