DEEPAVALI bukan saja dirayakan kaum India di Malaysia tetapi oleh seluruh penganut Hindu di dunia. Bagaimanapun, kemeriahan sambutan begitu dirasakan di Malaysia kerana sentuhan diberikan kerajaan menerusi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKKWA) dengan mengetengahkan kesenian dan kebudayaan India bersama kaum lain.
Sebenarnya Deepavali bersama dengan lima perayaan kaum lain sudah direstui kerajaan sebagai perayaan utama negara. Ia dikenali Rumah Terbuka Malaysia dan diraikan pada peringkat kebangsaan anjuran Kerajaan Pusat dan negeri. Ia sudah berlangsung selama tujuh tahun dan ternyata diterima ramai berdasarkan kehadiran khalayak setiap kali diadakan.
Deepavali di negara lain biasanya disambut secara individu atau kumpulan kecil dan kemeriahan dirasakan pada hari itu saja. Berlainan di negara kita, ia diangkat dan majlisnya dihadiri pemimpin tertinggi negara. Program yang diatur menjurus untuk menghargai kebudayaan dan kesenian masyarakat India.
Majlis Rumah Terbuka Deepavali yang dianjurkan oleh KEKKWA kebiasaannya diadakan beberapa hari selepas Deepavali. Ia bererti selepas orang perseorangan menganjurkan majlis berkenaan, kerajaan pula berbuat demikian. Seperti perayaan lain, masyarakat India saling mengunjung. Kaum lain tidak terkecuali turut memeriahkan.
Amalan kunjung mengunjung dan rumah terbuka Deepavali adalah tradisi yang baik, masyarakat menerima dan kerajaan mengiktirafnya. Tradisi itu perlu dipertahankan. Pada majlis rumah terbuka ini, bukan saja kesenian dan kebudayaan India diketengahkan, tetapi kebudayaan kaum lain.
Kerajaan pada masa lalu tidak mengabaikan pertubuhan bukan kerajaan kaum India. Sumbangan dihulurkan bagi meringankan beban mereka. Apa yang penting pengiktirafan kerajaan pada perayaan Deepavali berkenaan. Kali ini pemimpin akan menyampaikan sumbangan kepada pelajar cemerlang dari rumah kebajikan masyarakat.
Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2007 akan dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di tapak letak kereta stesen Kuala Lumpur Sentral, Brickfields p Ahad ini, iaitu tiga hari selepas Deepavali disambut. Dianggarkan lebih 25,000 orang menghadirinya. Majlis kali ini dijangka semeriah yang pernah diadakan di tempat sama dua tahun lalu.
Pemilihan tempat itu cukup strategik, bukan saja di kawasan yang padat dengan masyarakat India, malah Kuala Lumpur Sentral adalah nadi kawasan pengangkutan awam. Pengunjung mudah untuk ke situ. Pengisian program yang dibuat KEKKWA menjurus kepada mengenali budaya masyarakat India dikalangan orang ramai.
Ia seperti kunjungan ke sebuah rumah tradisi kaum India. Kali ini juga jamuan makanan untuk pemimpin dan rakyat akan diadakan secara terbuka bersama di pekarangan lapang sebagai jalinan kemesraan antara pemimpin dan rakyat.
Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata objektif Rumah Terbuka Malaysia Deepavali bertujuan mengetengahkan dan mengembalikan amalan tradisi menyambut Deepavali, mengeratkan hubungan antara pemimpin dan rakyat serta memupuk perpaduan dan persefahaman di kalangan kaum di negara ini ke arah pembangunan insan.
Kemeriahan dapat dibayangkan jika kita berpeluang ke kawasan Brickfields dan Jalan Masjid India. Gerai sementara didirikan dengan pelbagai kelengkapan bagi sambutan Deepavali.
Pendek kata, Deepavali yang juga dikenali Dewali atau Pesta Cahaya sememangnya membuatkan kawasan itu bercahaya pada waktu malam. Deepavali disambut pada hari ke-14 dalam bulan Aipasi mengikut kalendar masyarakat Tamil yang lazimnya jatuh pada Oktober atau November setiap tahun.
Jelas, kefahaman budaya dan warisan menerusi perayaan kaum meningkatkan toleransi di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum hidup bersatu padu dan harmoni. Untuk melihat kukuhnya perpaduan itu, Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2007 tidak boleh dilepaskan.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment