WAKIL Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, mendakwa ada pemimpin syarikat berkaitan kerajaan (GLC) membelakangkan perjuangan membela usahawan Bumiputera, sebaliknya rakus mengaut keuntungan untuk kemewahan sendiri.
"Saya nak cabar GLC... namakan lima usahawan berjaya yang mereka lahirkan... ada ka? GLC, kalau dapat kontrak, depa tubuh anak syarikat, depa balas (kaut) kat dia. Kita dok meleleh air liuq (air liur). Kalau order barang dari luar negara pun, dia balas kat dia lagi.
"Harap perkara ini diberi perhatian kerana kita mahu GLC berjiwa Melayu dan dapat bantu orang Melayu dan bukannya Melayu lemah dalam negara sendiri.
"Hang Tuah pernah berkata, takkan Melayu hilang di dunia. Tapi Melayu yang bagaimana kita nak untuk negara kita, adakah Melayu yang pentingkan diri, tak amanah, yang lemah, yang hina di negara sendiri atau orang Melayu yang akan menjadi layu di tanah pusaka sendiri," katanya disambut tepukan gemuruh perwakilan.
Dalam ucapan penuh emosi dan bersemangat beliau yang juga Ketua Umno Bukit Mertajam, dilihat cuba menarik perhatian Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya tidak membiarkan golongan korporat itu terus bertindak serong daripada matlamat asal memperjuangkan nasib dan masa depan bangsa Melayu.
Beliau tanpa berselindung juga mendesak dan memberi amaran kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GLC supaya tidak sekadar 'hisap cerut panjang', sebaliknya bertanggungjawab dengan turun padang berjumpa pemimpin Umno untuk membincangkan hal berkaitan pembangunan kawasan.
Musa turut membidas golongan yang gemar membodek pemimpin parti walaupun ada ketikanya tahu apa yang diperkatakan dan diarahkan itu tidak wajar dilaksanakan.
Katanya, kerajaan juga perlu menyiasat GLC yang menjalankan projek di luar negara kerana ada yang didakwa kerugian berjuta ringgit hanya kerana berlaku ketirisan.
Sehubungan itu, beliau meminta Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) yang ditubuhkan setahun lalu, memperhebatkan aktiviti termasuk menyiasat GLC jika berlaku penyelewengan.
Musa berkata, keadaan itu boleh berubah jika pelantikan pemimpin GLC dan Lembaga Pengarah syarikat dibuat dari kalangan pemimpin Umno sama ada ketua bahagian, Pemuda, Wanita dan Puteri.
Beliau juga mencadangkan perarakan menyambut 31 Ogos diketuai kontinjen Umno untuk mengingatkan semua bahawa parti keramat itu adalah pejuang sejati yang membawa kepada kebebasan negara 50 tahun lalu.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment