Friday, November 09, 2007

‘Malaysia tidak pernah bantah’

Daripada NORAINI ABD. RAZAK

THE HAGUE, Belanda 8 Nov. – Singapura hari ini menyenaraikan undang-undang serta pelbagai kegiatan yang telah dijalankan oleh republik itu di Pulau Batu Putih sejak tahun 1847 hingga sekarang bagi mempertahankan tuntutan bahawa pulau itu adalah milik mereka.

Peguam Rodman R. Bundy yang mewakili republik itu dalam kes tuntutan bertindih Pulau Batu Putih di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di sini, mendakwa penguatkuasaan undang-undang serta pelaksanaan kegiatan tersebut secara berterusan langsung tidak mendapat bantahan daripada kerajaan negeri Johor dan kerajaan Malaysia.

Beliau mendakwa, berbanding Singapura, Malaysia tidak pernah berbuat apa-apa di pulau tersebut sebelum tahun 1847 hinggalah sekarang termasuk tidak pernah menempatkan seorang pun rakyatnya di situ sebaik Rumah Api Horsburgh siap dibina.

Bundy yang bertindak sebagai pembentang pertama hari ketiga persidangan kes itu turut menyenaraikan beberapa siri penyelidikan oleh kumpulan penyelidik dari Malaysia di Pulau Batu Putih dan perairannya yang memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa di Singapura.

Beliau memulakan senarainya dengan mengetengahkan akta tahun 1852 yang diperkenalkan oleh British sebaik sahaja Rumah Api Horsburgh di Pulau Batu Putih siap dibina - secara jelas membuktikan bahawa mereka berkuasa ke atas pulau itu.

Menurut Bundy, walaupun Malaysia percaya akta itu adalah undang-undang persendirian namun peguam itu yakin kuasa yang diturunkan oleh British menerusi akta tersebut menunjukkan bahawa Pulau Batu Putih adalah milik British ketika itu.

Beliau mendakwa, tidak disebut langsung dalam akta itu mengenai keizinan kerajaan Johor untuk pembinaan rumah api tersebut jauh sekali ia menerima bantahan daripada mana-mana pihak.

Bundy kemudian berhujah satu persatu tentang kegiatan di Pulau Batu Putih bagi membuktikan bahawa Singapura mempunyai kuasa ke atas pulau itu. Beliau antara lain menarik perhatian mahkamah tentang kuasa yang ada pada Singapura untuk mentadbir dan menyelenggara Rumah Api Horsburgh.

Beliau mendakwa, kesemua tindakan Singapura itu dilakukan secara terbuka dan diterbitkan sebagai dokumen rasmi kerajaan dan tidak ada satu pun menerima bantahan daripada Malaysia.

Ia secara jelas, dakwa beliau, menunjukkan tiadanya pentadbiran berkesan oleh kerajaan Malaysia di Pulau Batu Putih.

Sebaliknya, dakwa Bundy, Singapura telah berjaya membuktikan mereka telah berbuat demikian menerusi kuasa undang-undang dan pelaksanaan pelbagai kegiatan di situ.

Katanya, ketiadaan bantahan di pihak Malaysia terhadap manifestasi Singapura yang jelas dan berterusan di Pulau Batu Putih serta perairannya sejak 1847 sehingga 1989 merupakan pengiktirafan yang jelas terhadap kedaulatan Singapura di pulau itu.

Beliau mendakwa, Malaysia secara jelas mengiktiraf kedaulatan Singapura ke atas pulau itu bukan sahaja dengan ‘berdiam diri’ tetapi juga tindakan serta tata laku apabila perlu meminta kebenaran dari Singapura untuk melawat Pulau Batu Putih dan menjalankan kegiatan-kegiatan di perairan tersebut.

Bundy turut mendakwa, peta rasmi Malaysia yang dikeluarkan sebelum tahun 1979 (yang tidak menunjukkan Pulau Batu Putih) juga mengiktiraf bahawa pulau tersebut adalah milik Singapura.

Sementara itu, Peguam Loretta Malintopi dalam hujahnya menarik perhatian mengenai hujah Malaysia yang terkandung dalam memorial bagi menunjukkan bahawa ia mempunyai kuasa ke atas Pulau Batu Putih.

Beliau mendakwa, hujah pertama Malaysia yang berhubung piagam laut Malaysia yang menunjukkan wilayah perairan negara adalah termasuk Pulau Batu Putih hanya bersifat dalaman dan untuk kegunaan dalam negara sahaja.

Malintopi mendakwa, Singapura tidak pernah berpeluang melihat dokumen yang dikeluarkan pada 16 Julai 1968 itu justeru tidak dapat mencabar isi kandungannya.

Katanya, penyediaan dokumen tersebut juga sejajar dengan Konvensyen Geneva dan ia adalah untuk kegunaan dalaman sahaja serta tidak boleh dianggap sebagai polisi kerajaan.

Pusingan pertama tuntutan bertindih Malaysia dan Singapura itu turut melibatkan pulau Middle Rocks dan South Ledge yang terletak dalam perairan Pulau Batu Putih.

Satu Perjanjian Khas ditandatangani oleh kedua-dua negara pada 9 Februari 2003 bagi merujuk tuntutan tersebut ke ICJ.

Perbicaraan berlangsung di Peace Palace di hadapan 16 hakim yang diketuai oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Penasihat Hal Ehwal Luar kepada Perdana Menteri, Tan Sri Abdul Kadir Mohamad manakala Duta Malaysia ke Belanda, Datuk Noor Farida Ariffin bertindak sebagai wakil bersama.

– Utusan

No comments: