Friday, November 09, 2007

Wujud badan cegah ketirisan

KUALA LUMPUR 8 Nov. – Enam cadangan dikemukakan kepada kerajaan untuk melonjak serta menyelamatkan ekonomi orang Melayu termasuk langkah mewujudkan Badan Pencegah Ketirisan (BPK).

Cadangan tersebut dikemukakan dalam Usul Ekonomi dan Pendidikan yang dibentangkan Ketua UMNO Bahagian Lenggong, Perak, Datuk Saarani Mohamad pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap ketirisan sebagai salah satu faktor penghalang kepada proses pembangunan bangsa Melayu malah menjadi penyumbang kepada kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

‘‘Kerajaan perlu memantau dan membanteras ketirisan dalam projek kerajaan yang diberikan kepada syarikat dan usahawan bumiputera termasuk kontrak, permit, lesen, konsesi, saham dan hartanah.

‘‘Sebuah badan yang dinamakan Badan Pencegah Ketirisan perlu ditubuhkan, diberikan kuasa dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri,’’ jelasnya sambil menambah ia akan menjadi mata dan telinga kepada projek kerajaan yang dijalankan usahawan bumiputera.

Wakil Perak itu turut mencadangkan kerajaan supaya melihat, memantau dan menggantikan mereka yang tidak berjiwa Melayu dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta agensi di bawahnya.

Beliau juga mencadangkan jawatan profesional GLC terutama pengurusan atasan menengah diisi oleh profesional Melayu agar semangat menjiwai agenda Melayu dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

Beliau juga mencadangkan UMNO supaya mewujudkan indeks pencapaian pimpinan Melayu dalam ekonomi, sama ada dalam sektor awam, mahupun swasta.

‘‘Ini penting untuk membolehkan kita mengukur pencapaian orang Melayu di samping mengenal pasti mereka yang benar-benar berjiwa Melayu dan sanggup membantu orang Melayu,’’ katanya.

Saarani juga meminta kerajaan mengekalkan polisi dan operasi Felda, Felcra dan agensi bumiputera yang lain demi memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu serta membetulkan kelemahan dan kekurangan agensi termasuk menggantikan mereka yang gagal membantu orang Melayu.

Wakil Badan Perhubungan UMNO Perak itu juga mencadangkan supaya kerajaan dapat mewujudkan serta mengaktifkan unit penyertaan bumiputera di setiap kementerian, jabatan dan agensi berkenaan.

‘‘Ini penting kerana pencapaian orang Melayu di bawah dasar pembangunan nasional masih rendah dan jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum bukan bumiputera,’’ katanya.

No comments: