Friday, November 09, 2007

Pemuda cadang sistem subsidi petrol dirombak

KERAJAAN dicadang merombak sistem subsidi bagi memastikan pengagihan lebih adil dan hanya rakyat yang benar-benar layak serta berhak, menikmati keistimewaan itu, bukannya golongan kaya.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata sistem subsidi yang diamalkan sekarang bukan saja tidak adil kepada golongan miskin, malah satu pembaziran kerana turut dinikmati golongan kaya.

"Subsidi ialah untuk rakyat yang memerlukan subsidi, yang betul-betul miskin dan berpendapatan rendah. Tapi bayangkan kalau kita pergi ke stesen minyak kita nampak pak cik dengan (motosikal) kapcai nak isi minyak, dia bayar RM1.92 sen seliter.

"Lepas tu tiba-tiba datang pula Mercedes Benz tauke besar, dia bayar RM1.92 juga.

Mengapa kita perlu bagi (subsidi) kepada yang sudah kaya yang membawa kereta jenama besar dan enjin berkuasa tinggi. Sepatutnya subsidi untuk rakyat biasa, untuk yang bawa kapcai," katanya ketika membahaskan usul Ekonomi dan Pendidikan.

Khairy berkata, dalam konteks harga petrol, golongan kaya boleh membayar mengikut harga pasaran atau kurang sedikit daripada harga pasaran seperti RM2 untuk seliter petrol.

Beliau yakin rakyat akan lebih sayang kepada Umno dan kerajaan jika dapat mengurangkan subsidi atau kekalkan hanya untuk rakyat yang memerlukan, manakala penjimatan wang boleh disalurkan untuk membangunkan jalan kampung dan sekolah.

Katanya, tahun ini saja kerajaan berbelanja RM35 bilion bagi bantuan subsidi, iaitu 25 peratus daripada hasil kerajaan.

�Dengan RM35 bilion itu, kita boleh membina dua Putrajaya, sembilan jambatan baru di Pulau Pinang dan 500,000 rumah kos rendah. Harga minyak yang terlalu murah menyebabkan ramai yang membazir serta membebankan negara pada masa depan kerana mungkin terpaksa menanggung hutang,� katanya.

Beliau berkata, generasi muda sekarang tidak mahu menanggung beban hutang pada masa depan terutama menjelang 2011 Malaysia akan menjadi negara pengimport minyak.

Mengenai kemungkinan harga petrol dinaikkan, Khairy berharap kerajaan membuat pengumuman awal jika memutuskan mahu menaikkan harganya.

"Kita semua tahu kerajaan berjanji tidak akan menaikkan harga minyak tahun ini. Tahun depan, saya tak tahu kerana tekanan harga minyak pasaran dunia hampir mencecah AS100 dan kerajaan mungkin perlu menaikkan harga.

"Tapi saya minta kalau nak naikkan harga bagilah notis awal sikit. Jangan naikkan harga mendadak. Jangan umum hari ini, esok harga naik," katanya.

Khairy juga berkata, isu rantaian pembekalan bahan pembinaan dan industri adalah antara faktor paling penting bagi menjayakan agenda Melayu kerana ia dimonopoli bangsa lain.

"Dalam sektor pembinaan, bahan binaan dikuasai bukan Melayu. Jadi, bila kontraktor Melayu beli harga lebih tinggi daripada harga kontraktor yang bukan Melayu dapat," katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana isu monopoli dalam rantaian bekalan memberi kesan sehingga beberapa akhbar utama yang sepatutnya menyiarkan ucapan Presiden dalam edisi semalam, tidak dapat mencetak akhbar kerana masalah vendor atau pengedar bercuti sempena Deepavali.

"Pada hari ini, inilah kali pertama dalam sejarah Perhimpunan Agung Umno yang sudah 58 kali diadakan, ucapan Presiden tidak dapat dibaca rakyat umum," katanya yang menyifatkan ia contoh kegagalan Melayu menguasai rantaian bekalan kerana menganggap vendor atau pengedar akhbar tidak penting.

No comments: