KUALA LUMPUR: Penganut agama Hindu di seluruh negara semalam merayakan Deepavali dalam suasana meriah dengan tradisi kunjung mengunjung terus menjadi acara utama.
Tinjauan Berita Harian di sekitar banda raya mendapati, beberapa kuil utama termasuk di Batu Caves menjadi tumpuan masyarakat Hindu pada sebelah pagi untuk menghadiri upacara sembahyang.
Ia kemudian diikuti majlis rumah terbuka termasuk yang diadakan oleh pemimpin parti dan pertubuhan.
Oleh kerana Deepavali jatuh pada tarikh masyarakat Islam masih meraikan Aidilfitri, makanan yang dihidangkan pada beberapa rumah terbuka kali ini memperlihatkan gabungan dua budaya.
Dengan hidangan tradisi masyarakat India seperti nasi briyani, nasi minyak, muruku dan tosai menjadi hidangan utama tidak dilupakan adalah hidangan masyarakat Melayu seperti roti jala dan ketupat.
Antara yang mengadakan rumah terbuka ialah bekas pengarah filem veteran, Datuk L Krishnan yang turut meraikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).
Seramai 1,050 OKU dari 32 rumah kebajikan sekitar Lembah Klang diraikan Krishnan pada majlis itu yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah St John.
Beliau yang mengadakan majlis itu setiap tahun sejak 28 tahun lalu berkata, ia adalah tradisi menyambut Deepavali yang diraikannya kerana menganggap masyarakat OKU adalah sebahagian anggota keluarganya.
“Saya akan adakan acara ini sepanjang hayat. Kali pertama diadakan pada tahun 1979, hanya 50 orang yang datang dan jumlahnya meningkat setiap tahun. Saya bangga dapat menyumbang sesuatu kepada golongan ini.
“Inilah aktiviti saya selepas bersara dari dunia filem dengan melakukan kerja amal,” katanya. Turut hadir, Presiden Seniman, Datuk Mustafa Maarof.
Majlis Rumah Terbuka Deepavali peringkat kebangsaan yang bertemakan “Kita Bersama Satu Warisan” akan diadakan pada Ahad ini di Brickfields, di sini yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Di PULAU PINANG, lebih 3,000 masyarakat pelbagai kaum menghadiri rumah terbuka Deepavali Pengerusi Parti Progresif Rakyat (PPP), Datuk Dr Loga Bala Mohan di Bukit Mertajam, di sini.
Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Timbalan Menteri Kesenian, Kebudayaan dan Warisan, Datuk Wong Kam Hoong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Berapit, Lau Chiek Tuan adalah antara orang kenamaan yang turut hadir.
DI IPOH, lebih 100 tetamu pelbagai keturunan menghadiri rumah terbuka Deepavali Exco Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna Perak, Datuk G Rajoo, di rumahnya di Taman Lim, di sini.
Rajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang dan isteri, Datin R Radhamani turut meraikan anak yatim dan wakil Parti Kongres India Muslim Malaysia (Kimma).
Di SEREMBAN, Deepavali disambut meriah oleh penganut agama Hindu dengan tradisi kunjung mengunjung, manakala kesempatan cuti umum semalam turut digunakan oleh sesetengah umat Islam untuk mengadakan majlis rumah terbuka Aidilfitri pada minggu terakhir Syawal.
Di MELAKA, kira-kira 2,000 tetamu dengan diketuai Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob hadir pada rumah terbuka Pengerusi MIC negeri, Datuk R Raghavan di Taman Maju, Jasin, dekat sini.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment