PRESIDEN Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang bangga dengan pencapaian syarikat berkaitan kerajaan (GLC), mahu GLC menjuarai usaha membantu meningkatkan keupayaan dan kredibiliti syarikat serta individu Bumiputera di negara ini.
Perdana Menteri berkata, GLC perlu mengambil peranan sebagai pemangkin untuk membolehkan berlakunya proses pemindahan teknologi asing kepada syarikat tempatan dan syarikat Bumiputera dalam melaksanakan sesuatu tugasan.
“Saya berbangga dengan pencapaian GLC... terima kasih kepada CEO yang hadir. Saya lebih berbangga apabila GLC turut berperanan aktif, membantu memperbesarkan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) dan mempercepatkan proses pemindahan teknologi kepada syarikat tempatan.
“Kejayaan GLC menjadi lebih lengkap apabila GLC berupaya mengimbangkan usaha dengan merealisasikan program pembangunan ekonomi dan program pembangunan sosio ekonomi Bumiputera,” katanya dalam ucapan dasar bertema “Memperkukuh Keyakinan pada Perhimpunan Agung Umno 2007.
Abdullah berkata, sebagai syarikat berkaitan kerajaan, GLC wajib menghayati aspirasi negara dan bangsa serta perlu sama-sama mengambil tanggungjawab dan mendukung wawasan kerajaan, terutama usaha melahirkan MPPB, mewujudkan sistem vendor dan menjalin program usaha sama secara berkesan dengan syarikat Bumiputera.
Beliau berkata, tidak ada percanggahan antara matlamat mencapai sasaran keuntungan dengan wawasan membangunkan ekonomi Bumiputera kerana pada hari ini terdapat banyak syarikat serta individu Bumiputera sudah memiliki kemahiran dan keupayaan.
Justeru, tidak ada sebab syarikat dan individu tempatan disisihkan, sekali gus tidak seharusnya keistimewaan dan keyakinan diutamakan kepada syarikat atau pakar dari luar negara saja.
Menyentuh Wawasan 2020 pula, Abdullah mengingatkan mengenai pentingnya pada waktu itu orang Melayu dipastikan tidak tertinggal di belakang, bertaraf masyarakat pinggiran, bagai melukut di tepi gantang dan tersisih dalam sebuah negara yang sudah bertaraf negara maju.
Sehubungan itu, beliau mahu orang Melayu mengeluarkan pemikiran yang meracun minda mereka termasuk perasaan bimbang, takut dan terancam, yang sudah tertanam sejak era penjajahan.
“Berasa diri kecil, rendah diri, gentar, kurang upaya, adalah pemikiran beracun yang disuntik ke dalam minda Melayu, bermula daripada era penjajahan. Racun minda ini perlu dikeluarkan supaya Melayu berminda segar, berfikiran berani.
“Melayu, bila diberikan bimbingan yang betul dan peluang yang saksama, sebenarnya sudah sedia bersaing,” katanya.
Beliau berkata, selagi orang Melayu berfikiran kecil, selagi itulah mereka berasa gentar apabila berhadapan dengan perkataan meritokrasi.
Selepas 50 tahun merdeka, beliau percaya ramai orang Melayu sudah berjiwa merdeka, ramai anak Melayu pada era ini bersedia bekerja keras dan berani bersaing pada peringkat global.
Oleh itu, tegas beliau, jangan lagi ditakutkan minda Melayu, seperti menakut-nakutkan anak kecil kepada hantu dan pada hari ini juga jangan diperkecilkan daya upaya serta kapasiti Melayu.
“Melayu akan kita pelengkap supaya berupaya membawa negara mencapai tahap lebih gemilang untuk 50 tahun akan datang. Melayu perlu berasa tabah sebelum memulakan langkah.
“Pada hari ini ramai Melayu menguasai profesion, memimpin pelbagai organisasi dan menerajui pelbagai institusi. Kejayaan negara ini sendiri adalah bukti kebijaksanaan dan kehebatan pimpinan Melayu,” katanya.
SUKAN : AHAD 19 JULAI 2009
15 years ago
No comments:
Post a Comment